Pulau Pinang terima pelaburan lebih RM500 juta dari syarikat Korea Selatan, Simmtech | DagangNews Skip to main content

Pulau Pinang terima pelaburan lebih RM500 juta dari syarikat Korea Selatan, Simmtech

 

KUALA LUMPUR 30 Julai - Pulau Pinang bakal menyaksikan pelaburan AS$120 juta atau sekitar RM507.82 juta dari syarikat semikonduktor Korea Selatan, Simmtech Co Ltd. 

 

Ini melibatkan pembinaan kilang pertamanya di rantau Asia Tenggara, di Taman Perindustrian Batu Kawan Pulau Pinang. 

 

"Memang sesuailah untuk kami memilih rantau ini yang mempunyai latar belakang elektrik dan elektronik (E&E) yang kuat serta akses ke perniagaan dan sumber tempatan.

 

"Ini adalah fasa pelaburan pertama kami; kebanyakannya akan dilaksanakan semasa projek pembinaan dalam tempoh dua tahun akan datang,” kata Pengarah Urusan SimmTech Asia Tenggara, Jeffery Chun pada taklimat media secara maya, seperti dilaporkan Bernama.

 

Tambah beliau, pilihan untuk mendirikan kilang pembuatan tersebut di Pulau Pinang adalah susulan negeri itu mempunyai ekosistem E&E yang mantap, pekerja berkemahiran tinggi dan pangkalan pelanggan sedia ada.

 

Pelaburan itu menyaksikan pembinaan kilang papan litar bercetak (PCB) semikonduktor dan substrat pembungkusan yang bakal melengkapkan operasi kumpulan sedia ada di Korea Selatan, China dan Jepun. 

 

Pembinaan kilang itu dijangka selesai menjelang awal tahun depan, sementara operasi dan penghantaran produk dari kilang baharu dijadualkan bermula pada separuh pertama tahun depan. 

 

Di sebalik cabaran penularan COVID-19 semasa, kumpulan melihat pandemik tersebut sebagai peluang bagi industri semikonduktor susulan trend dalam talian semakin meningkat mewujudkan permintaan yang lebih tinggi untuk produk terebut. 

 

"Sebaik beroperasi sepenuhnya, kapasiti pengeluaran (kilang) di Pulau Pinang akan mewakili 20% daripada kapasiti gabungan semasa Simmtech Group di Korea Selatan, China dan Jepun," tambahnya.  - DagangNews.com