SEPANG 17 Mac - Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) menyambut penumpang pertama di bawah Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Singapura-Pulau Pinang, semalam.
Penerbangan AK1730 oleh AirAsia adalah penerbangan VTL pertama mendarat pukul 6.40 petang, membawa kira-kira 60 penumpang di bawah program tersebut.
Pesawat itu menerima sambutan 'water cannon' manakala penumpang diberikan cenderahati untuk meraikan acara istimewa itu.
Pulau Pinang adalah destinasi ke-2 Malaysia yang diperkenalkan selepas Kuala Lumpur di bawah program VTL Singapura-Malaysia.
Terdapat 4 syarikat penerbangan yang beroperasi di bawah program berkenaan iaitu Malaysia Airlines, AirAsia, Singapore Airlines dan Scoot.
Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, ia satu langkah positif oleh kerajaan untuk merangsang trafik antarabangsa dan pelancongan, sekali gus membawa kepada pertumbuhan ekonomi.
"PIA sentiasa menjadi lapangan terbang ke-2 paling sibuk selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari segi trafik penumpang, justeru perluasan program untuk memasukkan Pulau Pinang akan menyumbang kepada pemulihan semula industri pelancongan kita.
"Pulau Pinang juga adalah pintu gerbang ke utara, justeru ini juga akan memanfaatkan negeri-negeri jiran seperti Kedah, Perak dan Perlis.
"Buat permulaan, kami menjangkakan antara 1,000 hingga 2,000 pergerakan penumpang VTL dalam minggu pertama operasi," katanya dalam satu kenyataan.
Semua penumpang VTL yang tiba perlu melalui ujian saringan mandatori COVID-19 oleh pengendali saringan kesihatan swasta.
Di PIA, penumpang diberikan jaminan perkhidmatan pantas dan selesa oleh pengendali yang memasang 10 reruai ujian saringan dan sebuah makmal lengkap untuk menghasilkan keputusan dengan segera di kemudahan baharu terbabit. - DagangNews.com