Purata harga jualan sarung tangan getah dijangka tidak meningkat kesan saingan daripada pengeluar China - PublicInvest | DagangNews Skip to main content

Purata harga jualan sarung tangan getah dijangka tidak meningkat kesan saingan daripada pengeluar China - PublicInvest

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Nov - Public Investment Bank Research (PublicInvest) menjangkakan purata harga jualan (ASP) sarung tangan getah tidak akan meningkat dengan ketara pada pada tahun hadapan kesan saingan semgit daripada pengeluar China.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kapasiti operasi industri kekal di bawah paras optimum kerana pengeluaran sarung tangan Malaysia masih rendah iaitu 50% atau kurang.

 

Menjelang suku pertama 2024, firma penyelidikan itu menjangkakan pengeluar sarung tangan Malaysia memperoleh pesanan dan jumlah jualan yang lebih tinggi, disebabkan tahap inventori pelanggan yang rendah.

 

"Kami percaya pergerakan positif harga saham baru-baru ini mencerminkan jangkaan peningkatan pendapatan.

 

"Namun begitu, kami tetap berhati-hati terhadap pengeluar dari China dan sekiranya kapasiti pengeluaran mereka terus berkembang, bahagian pasaran pemain sarung tangan Malaysia akan terhakis.

 

"Kami menyemak naik penarafan daripada 'underweight' kepada 'neutral' dan kami percaya bahawa pengeluar sarung tangan akan kembali mencatatkan keuntungan," katanya dalam satu not akajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ASP kembali stabil pada paras AS$20 hingga AS$21/1,000 keping bagi pengeluar sarung tangan Malaysia.

 

Katanya, jurang harga antara pengeluar Malaysia dan China mula mengecil daripada AS$4/1,000 keping kepada AS$2-AS$3/1,000 keping.

 

"Ini sebahagiannya disebabkan oleh kenaikan harga arang batu berikutan permintaan tenaga China yang lebih kukuh yang mengehadkan keupayaan bagi mengurangkan ASP," katanya. - DagangNews.com