Pusat 3S Perodua baharu di Alor Setar dibuka libatkan pelaburan RM10 juta | DagangNews Skip to main content

Pusat 3S Perodua baharu di Alor Setar dibuka libatkan pelaburan RM10 juta

Ismail Lall Khan (tiga dari kanan) memberi penerangan mengenai Pusat 3S Perodua baharu Triumph Point Sdn Bhd kepada Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin di Anak Bukit, Alor Setar hari ini.
Oleh EMIR MUKMIN

ALOR SETAR 17 Julai - Triumph Point (M) Sdn. Bhd. yang merupakan salah satu daripada pengedar rasmi Perodua di Kedah, melaburkan lebih RM10 juta bagi pembinaan Pusat Jualan, Servis dan Alat Ganti (3S) kenderaan baharu mereka di Bandar Anak Bukit, dekat sini. 

 

Pengarahnya, Datuk Ismail Lall Khan berkata, bangunan satu tingkat berkeluasan 2,500 meter persegi itu mula beroperasi sejak Mac lalu setelah pihaknya berpindah daripada lokasi lama di Taman Pandan. 

 

"Perancangan untuk membina bangunan ini tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mengambil masa selama empat tahun untuk dilaksanakan. Alhamdulillah, bangunan ini akhirnya berjaya disiapkan dengan pelbagai kemudahan disediakan termasuk surau yang boleh menempatkan antara 100 ke 150 individu pada satu-satu masa. 

 

 

"Kami mula berpindah dari Taman Pandan ke sini sejak Januari lalu sebelum pusat 3S ini memulakan operasi pada Mac 2024. Pusat 3S ini telah diiktiraf mengikut standard operasi baharu (NOS) dan itu sudah tentu memberi wajah serta semangat buat kami di Triumph Point," katanya. 

 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena majlis perasmian bangunan tersbut oleh Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin di sini, hari ini. 

 

PERODUA
Pusat 3S Perodua milik Triumph Point Sdn Bhd di Anak Bukit, Alor Setar 

 

Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Fauzi Mustaffa, Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mohd. Yusri Md. Daud serta Pengarah Sumber Manusia Perodua Sales Sdn. Bhd., Zarina Mansor.   

 

Difahamkan pusat 3S itu merupakan yang pertama menerima pengiktirafan NOS dari Perodua di utara tanah air. 

 

Selain pusat 3S, sebuah restoran nasi kandar terkenal bertaraf bistro turut dibuka di lokasi sama. 

 

Mengulas lanjut katanya, dengan lokasi yang strategik, pihaknya berharap dapat meningkatkan lagi jualan selain memberi perkhidmatan terbaik kepada pengguna Perodua di sekitar bandar raya ini. 

 

"Pada tahun lalu kami berjaya mencapai jualan tertinggi iaitu sebanyak 2,488 unit hasil komitmen diberikan seluruh warga kerja Triumph Point. 

 

"Sebagai pengedar rasmi, sudah tentu kita mengharapkan lebih lagi. Harapnya kami dapat mencapai sasaran lebih daripada 2,500 atau mungkin mencecah 3,000 unit," katanya. - DagangNews.com