Pusat Kecemerlangan Pertanian Hijau MARDI fokus R&D tanaman tanah tinggi | DagangNews Skip to main content

Pusat Kecemerlangan Pertanian Hijau MARDI fokus R&D tanaman tanah tinggi

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 30 April - Pusat Kecemerlangan (COE) Pertanian Hijau MARDI Cameron Highlands ditubuhkan bagi memantapkan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) yang memfokuskan kepada tanaman tanah tinggi.

 

Merasmikan satu-satunya stesen penyelidikan tersebut, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, ia berfungsi sebagai stesen kecemerlangan penyelidikan teknologi pertanian hijau dan pertanian tanah tinggi serta merupakan stesen sokongan kepada pemindahan teknologi MARDI.

 

.

 

"Antara aktiviti penyelidikan yang dijalankan di MARDI Cameron Highlands adalah penyelidikan agronomi dan sistem pengeluaran, pengawalan perosak dan penyakit, serta pengendalian lepas tuai bagi sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga-bungaan, penyelidikan pemuliharaan tanah dan pengumpulan, pemuliharaan dan penggunaan sumber genetik tanaman tanah tinggi," jelas beliau.

 

Dalam majlis perasmian tersebut semalam, beliau  turut melancarkan dua lagi teknologi MARDI iaitu Teknologi Biopestisid Multi Virus dan Baja OrganoPlus.

 

.

 

Teknologi Biopestisid Multi Virus berkesan dalam mengawal serangan empat ulat perosak Lepidoptera di ladang kubis, mesra alam dan tidak memusnahkan serangga bermanfaat seperti pendebunga(lebah/kelulut), tidak meninggalkan sisa dan hasil sayuran boleh terus dituai dan mengurangkan perkembangan masalah kerintangan atau kekebalan serangga perosak terhadap racun kimia.

 

Sementara itu, Baja Organo Plus pula berupaya membekalkan unsur nutrien makro dan surih.

 

Baja tersebut telah diuji keberkesanannya pada sayuran serta bungaan.

 

Ia bukan sahaja meningkatkan hasil tanaman, malah menyuburkan tanah dengan aplikasi yang berterusan, meningkatkan kesuburan dan kualiti tanah dengan penggunaan berpanjangan dan sesuai untuk semua jenis tanah dan tanaman.

 

“Saya yakin MARDI akan terus berusaha untuk membuat kajian dan penyelidikan untuk dimanfaatkan oleh petani dan pihak industri agar sektor pertanian terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

 

"Beliau juga berharap Pelancaran Pusat Kecemerlangan (COE) Pertanian Hijau MARDI Cameron Highlands akan memantapkan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) MARDI," tambah beliau. - DagangNews.com