Qatar-Malaysia perlu jayakan Perjanjian Jaminan Pelaburan | DagangNews Skip to main content

Qatar-Malaysia perlu jayakan Perjanjian Jaminan Pelaburan

 

 

KUALA LUMPUR 5 Julai - Sebagai antara rakan dagang terbesar Malaysia, Qatar menekankan pentingnya kedua-dua negara untuk terus menjayakan Perjanjian Jaminan Pelaburan (IGA).

 

Dalam kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Menteri Perdagangan dan Industri Qatar, Ali Ahmed Al Kuwari mengusulkan agar pemeteraian perjanjian itu diadakan pada mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan Bersama (JTC) akan datang, dengan Qatar berminat menjadi tuan rumah.

 

"Perlindungan terhadap pelaburan yang termaktub di bawah IGA akan mendorong lebih banyak aliran masuk pelaburan bersilang antara Qatar dan Malaysia," katanya seperti dilapor Bernama hari ini.

 

Beliau berkata demikian dalam pertemuan dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semasa lawatan tiga hari menteri berkenaan ke ibu kota Qatar, Doha di bawah misi perdagangan dan pelaburan yang bermula semalam.

 

Pada pertemuan itu, kedua-dua menteri membincangkan pelbagai perkara termasuk inisiatif kerjasama untuk kerjasama ekonomi dua hala dan serantau bagi meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan serta pemulihan ekonomi yang mampan.

 

Sebagai sebahagian daripada misi perdagangan dan pelaburan, Mohamed Azmin juga akan bertemu dengan pemimpin terkemuka syarikat-syarikat Qatar dan bakal pelabur untuk meneroka lebih jauh peluang perniagaan dan kerjasama dalam perkhidmatan runcit, keselamatan siber dan memperluas jejak Malaysia dalam industri halal global.

 

Tahun lalu, Qatar adalah rakan dagang keenam terbesar Malaysia dan sumber import ketujuh di rantau Asia Barat.

 

Jumlah perdagangan antara kedua-dua negara berjumlah RM2.10 bilion, dengan eksport Malaysia ke Qatar berjumlah RM1.13 bilion dan import pula bernilai RM970 juta. - DagangNews.com