QSR umum pelantikan 3 wanita sebagai Pengarah Bebas baharu | DagangNews Skip to main content

QSR umum pelantikan 3 wanita sebagai Pengarah Bebas baharu

Dari kiri, Chong Chye Neo, Khoo Gaik Bee dan Foong Pik Yee dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah QSR Brands baharu.

KUALA LUMPUR 14 Mac - QSR Brands (M) Holdings Berhad mengumumkan pelantikan tiga wanita sebagai Pengarah Bebas baharu di dalam Lembaga Pengarah QSR Brands.

 

Tiga ahli Lembaga baharu itu adalah bekas Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif IBM Malaysia, Chong Chye Neo; bekas pengarah Axiata Group Berhad, Khoo Gaik Bee dan bekas Pengarah Ambank (M) Berhad, Paramount Corporation Berhad dan Prudential Assurance Malaysia Berhad, Foong Pik Yee.

 

Seorang lagi Ahli Lembaga Pengarah Baharu akan dilantik dari luar negara iaitu seorang bekas Ketua Makanan Segera Serantau yang bakal diumumkan tidak lama lagi.

 

Pengerusi QSR Brands, Tan Sri Jamaludin Ibrahim berkata, menerusi pengurusan baharu di bawah kepemimpinan Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Pegarah Urusan, Nechal Khanna, kumpulan itu melangsungkan transformasi yang membawa percambahan nilai kepada syarikat sepanjang dua tahun yang cukup mencabar. 

 

"Pengumuman hari ini merupakan satu lagi langkah transformasi dalam pentadbiran termasuk komposisi lembaga, kepelbagaian, proses keputusan,  pengurusan risiko dan kawalan, pengurusan pembangunan modal insan, dan kelestarian.

 

“Dalam mengukuhkan pentadbiran Lembaga, pelantikan baharu ini secara keseluruhannya bakal membawa penyeliaan strategik kepada QSR Brands dan mengikut Standard Emas Pentadbiran Korporat. 

 

"Kami mengalu-alukan individu-individu cemerlang ini kepada Lembaga Pengarah QSR  Brands, terutamanya pencapaian kepelbagaian kepada Lembaga amat dibanggakan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


 

Tan Sri Jamaludin Ibrahim
                                             Tan Sri Jamaludin Ibrahim

 


Sementara itu, Nechal berkata, penambahan empat Ahli Lembaga ini bakal meluaskan pengalaman dan peranan Lembaga QSR Brands. 

 

"Kami berbesar hati dengan pelantikan ahli-ahli professional yang ternama dan disegani ini," katanya.

 

Chye Neo dan Gaik Bee bakal memulakan perkhidmatan pada Mac 2022, manakala  Pik Yee bakal berkhidmat pada 1 April, manakala Ahli Lembaga keempat pula akan menyertai syarikat dalam masa terdekat. - DagangNews.com