KUALA LUMPUR 14 Jun - Radium Development Bhd berkata ia akan memastikan tuntutan mahkamah dikemukakan oleh 241 pemilik Residensi Platinum OUG terhadap anak syarikatnya, Vistarena Development Sdn Bhd diselesaikan dengan adil dan memuaskan.
Radium berkata ia memahami kepentingan menangani semua aspek yang dibangkitkan dalam tuntutan mahkamah tersebut, termasuk laluan akses dan pembetulan kecacatan berkaitan keselamatan.
“Pada peringkat ini, adalah terlalu awal untuk menentukan kesan tuntutan mahkamah itu terhadap kewangan dan operasi Radium memandangkan ia bergantung kepada keputusan tuntutan.
“Namun begitu, syarikat yakin dengan keupayaannya dalam menangani cabaran sedemikian sambil mengekalkan komitmen untuk menyampaikan pembangunan berkualiti dan memastikan kepuasan pelanggan,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Residensi Platinum OUG terdiri daripada pembangunan gabungan kondominium dan rumah mampu milik di Blok B dan perumahan penjawat awam di Blok A.
"Radium kini sedang berunding dengan peguam caranya, dan syarikat itu akan memberikan kemas kini tepat pada masanya tentang sebarang perkembangan material yang berkaitan dengan tuntutan mahkamah. Radium kekal komited terhadap ketelusan dan akan memaklumkan kepada semua pihak berkepentingan tentang kemajuan yang dicapai dalam menyelesaikan perkara ini,” katanya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata saman itu difailkan selepas mesyuarat antara wakil pembeli dan pemaju diadakan pada 18 Oktober 2022 tidak mencapai penyelesaian secara baik terhadap aduan penduduk berhubung laluan masuk dan kerja pembetulan kecacatan berkaitan keselamatan.
Tuntutan tersebut telah dikemukakan kepada Vistarena selaku defendan pada 1 Jun 2023, oleh plaintif yang merupakan 241 pemilik unit di Blok B, di mana mereka mendakwa telah diperdaya oleh penerangan defendan mengenai pembelian harta itu, khususnya, pintu masuk berasingan antara Blok A dan B, yang mempunyai perbezaan besar dalam harga.
Menurut Radium, plaintif turut mendakwa terdapat kecacatan teruk di kawasan kemudahan bersama itu dan walaupun beberapa kerja pembetulan telah dilakukan, mereka berkata pemaju tidak menyelesaikan atau membetulkan kemudahan kad akses atau menyediakan kawalan akses dalam ruang bersama yang dikongsi.
Walaupun memaklumkan beberapa kali tentang kecacatan berkaitan keselamatan, plaintif mendakwa tiada tindakan telah diambil dan kekurangan pengasingan akses dan papan tanda yang jelas antara Blok A dan Blok B memberi kesan kepada prospek kewangan penduduk Blok B.
Penduduk bimbang bahawa perbadanan pengurusan pada masa hadapan mungkin memperuntukkan semula hak untuk menggunakan kemudahan bersama yang akan merugikan penduduk Blok B. Oleh itu, mereka telah mendakwa nilai Blok B telah merosot, dan pemaju tidak mengambil tanggungjawab. -DagangNews.com