Radzi pastikan kemudahan dan infrastruktur uzur di sekolah-sekolah Sri Aman dibaik pulih | DagangNews Skip to main content

Radzi pastikan kemudahan dan infrastruktur uzur di sekolah-sekolah Sri Aman dibaik pulih

Dr Radzi Jidin bertanya sesuatu kepada pelajar prasekolah di SK Bakong di Sri Aman, hari ini. - Gambar Facebook rasmi YBM


 

KUCHING 25 Okt - Beberapa kemudahan dan infrastruktur yang uzur di beberapa sekolah di Sri Aman dan Lubok Antu, Sarawak akan segera dibaik pulih bagi memastikan ia dapat beroperasi dengan baik untuk guru dan pelajar.

 

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin memberi jaminan demikian semasa melakukan lawatan kerja ke lima sekolah di Sri Aman dan Lubok Antu, hari ini bagi meninjau keadaan infrastruktur serta pengoperasian sekolah di kawasan berkenaan.

 

Ia adalah sebahagian daripada pemantauan dan libat urus pimpinan tertinggi Kementerian Pendidikan di Sarawak, yang bermula sejak semalam.

 

Tinjauan di Sri Aman pada hari ini juga melibatkan sebuah sekolah rendah, iaitu Sekolah Kebangsaan Bakong yang merupakan sekolah asrama harian dengan jumlah murid seramai 146 orang, termasuk 13 murid prasekolah.

 

Menurut beliau, SK Bakong telah beroperasi lebih 60 tahun dan sebahagian besar bangunan sekolah telah usang.

 

radzi jidin

 

 

''Beberapa kemudahan di sekolah seperti kipas yang rosak akan digantikan dengan segera. Ini akan membolehkan anak-anak di sekolah ini dan juga yang tinggal di asrama dapat belajar dengan lebih selesa.

 

''Dalam masa yang sama, projek pembinaan gantian penuh melibatkan bilik darjah, asrama dan rumah guru bagi SK Bakong telahpun diluluskan. Lokasi baharu sekolah ini terletak kira-kira 2 Kilometer dari tapak asal.

 

''Kami akan usahakan pelaksanaan projek ini disegerakan agar warga SK Bakong dapat menggunakan sekolah baharu yang lebih selesa secepat mungkin,'' kata beliau.

 

 

radzi jidin

 

 

Sebelum itu, Radzi melawat dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Jaong dan SK Aping, selain tiga sekolah di Lubok Antu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engkilili, SK San Semanju dan SK Ridan.

 

Beliau berkata, SK Jaong yang mempunyai 70 murid dengan 21 daripadanya menginap di asrama, baru menerima kemudahan di asrama seperti katil, tilam dan almari.

 

Bagi menambah baik kemudahan di sekolah itu, katanya, beberapa unit kuarters guru yang sudah uzur akan dibaiki segera.

 

Bagi SK Aping, katanya, Kementerian Pendidikan memberi perhatian kepada penambahbaikan bilik pemulihan serta akan menyelesaikan segera kerja pendawaian serta penyambungan bekalan elektrik awam di sekolah itu.

 

"Saya dimaklumkan SK Aping di Sri Aman yang mempunyai 82 murid dan 11 murid prasekolah, dalam perancangan untuk dipindahkan ke lokasi baharu," katanya menerusi Facebook, hari ini.

 

 

radzi jidin

 

 

Di Lubok Antu pula, Radzi melawat SMK Engkilili di Lubok Antu yang mempunyai 1,121 pelajar, dengan 163 daripadanya adalah pelajar Tingkatan Lima dan 83 pelajar Tingkatan Enam.

 

Ketika di sekolah itu, beliau mengambil kesempatan bertanya khabar dengan beberapa pelajar Tingkatan Enam Semester Dua yang sedang mengulang kaji sebagai persiapan menduduki peperiksaan tidak lama lagi.

 

"Pak Cik doakan agar anak-anak semua dapat belajar dalam keadaan selamat dan berjaya dalam peperiksaan," katanya.

 

Bagi SK San Semanju dan SK Ridan di Lubok Antu, Radzi memberi jaminan akan memberi perhatian untuk menyediakan bekalan air bersih di sekolah dan asrama kedua-dua sekolah berkenaan, yang masing-masing memiliki 131 dan 127 pelajar.

 

 

radzi jidin

 


"Begitu juga (perhatian diberikan pada) kemudahan di asrama seperti katil dan tilam untuk kegunaan murid," katanya.

 

Semalam, pada hari pertama lawatan kerja di Sarawak, Radzi meninjau infrastruktur dan pengoperasian lima sekolah di Lundu, iaitu SK Raso, SMK Senibong, SK Biawak, SMK Sematan, SK Telok Melano.

 

Antara perkara yang menjadi perhatiannya di Lundu adalah membabitkan blok bangunan sekolah dan asrama yang tidak selamat, tekanan air rendah, penambahan fasiliti, kerosakan kuarters guru serta menyegerakan projek pembaikan sistem tadahan air hujan di sekolah berkenaan. - DagangNews.com