Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 27 Okt. - MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Favelle Favco Bhd. dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.72.
Ini berikutan kontrak baharu yang diperolehnya menerusi anak syarikatnya, Favelle Favco Cranes Pte Ltd, Favelle Favco Cranes (M) Sdn. Bhd., Favelle Favco Cranes Pty. Limited dan and Exact Automation Sdn. Bhd. dengan nilai keseluruhan berjumlah RM37.1 juta.
Kontrak tersebut membabitkan tambahan tempahan pembelian 4 kren luar pesisir, kren menara dan sistem kawalan dan perolehan data.
"Dengan kontrak baharu ini, menjadikan nilai kontrak kumpulan hampir mencecah RM621 juta dan dijangka menyumbang secara positif kepada hasil kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 dan seterusnya.
"Kami menilai perkembangan ini adalah positif kepada Favelle Favco, dan kontrak baharu ini akan terus meningkatkan prestasi kewangan kumpulan pada masa hadapan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Susulan itu, MIDF Research mengekalkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2021/2022/2023 memandangkan kontrak baharu tersebut memenuhi jangkaannya.
Bagaimanapun, firma itu berkata, di sebalik kenaikan harga minyak mentah dan gas asli, ketidaktentuan daripada impak pandemik COVID-19 akan terus memberi risiko kepada sektor minyak dan gas dalam tempoh terdekat.
"Tetapi, kami percaya prospek bagi sektor ini masih positif dan Favelle Favco dilihat akan mendapat kelebihan daripadanya.
"Kami berpendapat, permintaan minyak mentah yang tinggi dan kekangan bekalan global akan merancakkan lagi operasi penerokaan dan penggerudian luar pesisir, justeru, meningkatkan permintaan bagi penggunaan limbungan kapal dan kren luar pesisir," jelasnya. - DagangNews.com