Raih ledakan semikonduktor, RHB Research naikkan harga sasaran Coraza kepada 93 sen | DagangNews Skip to main content

Raih ledakan semikonduktor, RHB Research naikkan harga sasaran Coraza kepada 93 sen

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 16 Ogos - RHB Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Coraza Integrated Technology Bhd. dengan harga sasarannya disemak lebih tinggi kepada 93 sen daripada 82 sen sebelum ini. 

 

Menurut firma itu, Coraza telah mencadangkan terbitan khas sehingga 14.3% daripada jumlah saham yang diterbitkan untuk memenuhi keperluan penyenaraian, kerana ia bercadang memindahkan penyenaraian ke Pasaran Utama, yang berpotensi meningkat sehingga RM43.5 juta.

 

Di sebalik kesan kecairan, ia positif terhadap cadangan itu, kerana sebahagian besar dana akan digunakan untuk rancangan pengembangan saiz armadanya bagi menampung permintaan yang meningkat seterusnya melonjakkan pendapatan masa hadapan.

 

"Selain daripada mematuhi keperluan penyenaraian, kami memahami bahawa langkah itu membolehkan Coraza mengeluarkan jumlah bingkai dan struktur besar yang lebih tinggi, dengan pengembangan kapasiti dan pembelian jentera untuk mengembangkan segmen pemesinan ketepatannya, menjadikan jumlah bilangan mesinnya daripada 75 kepada 140 dalam tempoh tiga tahun akan datang.

 

"Walaupun perbelanjaan modal (capex) dinaikkan, ia sepatutnya membenarkan Coraza meningkatkan kapasitinya dan penguasaan pasaran, sekali gus membuka jalan untuk pertumbuhan yang lebih kukuh," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Penyedia perkhidmatan sokongan kejuruteraan bersepadu itu mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 20 Januari 2022.

 

Pada pembukaan, harga saham Coraza meningkat lebih dua kali ganda pada 70 sen daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 28 sen.

 

Coraza kini bercadang untuk memindahkan penyenaraiannya ke papan utama dengan hasil dana yang dikumpul akan digunakan untuk membeli jentera baharu sebanyak RM24 juta manakala pembayaran semula hutang (RM8.1 juta), perbelanjaan modal am (RM10.6 juta) dan selebihnya untuk perbelanjaan penyenaraian.

 

Kumpulan menjangkakan langkah penyenaraian itu dapat diselesaikan pada suku keempat tahun ini.

 

Secara keseluruhan, RHB Research positif dengan prospek Coraza susulan lawatannya ke kilang pembuatannya, yang memiliki kadar penggunaan tinggi. 

 

Menurutnya, kumpulan itu kekal yakin dengan permintaan kukuh yang berterusan daripada pelanggan sedia ada dan bakal pelanggannya.

 

"Malah, ia sedang membangunkan kemudahan sewa ketiganya untuk menampung permintaan yang semakin meningkat daripada pelanggannya bagi kedua-dua perkhidmatan pemesinan kepingan logam dan komponen ketepatan, sementara menunggu loji baharu seluas 91,000 kaki persegi yang akan didirikan dalam tempoh 12 hingga 15 bulan akan datang," jelasnya.

 

Ini mendorong firma itu menaikkan unjuran hasil bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22), FY23 dan FY24 masing-masing sebanyak 4.9%, 10.9% dan 12.7% dengan mengambil kira pertumbuhan yang lebih agresif, di tengah-tengah penambahan nilai kontrak yang kukuh.

 

"Kami juga menaikkan harga sasarannya kepada 93 sen yang mencerminkan pelan pengembangan Coraza yang agresif bagi meraih pertumbuhan permintaan struktur dan ledakan semikonduktor," katanya.

 

Setakat 12.20 tengah hari, harga sahamnya susut 3 sen atau 3.55% kepada 81.5 sen dengan 6.79 juta saham diniagakan. - DagangNews.com