Rakuten Trade unjur pendapatan Inta Bina kembali pulih bagi FY2022 selepas kembali beroperasi sepenuhnya | DagangNews Skip to main content

Rakuten Trade unjur pendapatan Inta Bina kembali pulih bagi FY2022 selepas kembali beroperasi sepenuhnya

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Mac - Firma penyelidikan Rakuten Trade menjangkakan pendapatan Inta Bina Group Berhad akan pulih seperti sebelum musim pra pandemik bagi FY2022 selepas syarikat itu kembali beroperasi sepenuhnya selepas tiada lagi perintah sekatan perjalanan. 

 

Inta Bina merupakan syarikat yang terlibat dengan kerja-kerja pembinaan melibatkan projek perumahan serta kerja-kerja pembangunan infrastruktur dengan nilai tempahan semasa sebanyak RM1.2 bilion.

 

Kumpulan itu sentiasa mencari peluang untuk mengembangkan perniagaan mereka dan baru-baru ini mewujudkan syarikat kerjasama dengan LAgenda Properties Berhad yang dikenali sebagai Lagenda Inta Sdn. Bhd. yang digunakan untuk menyiapkan projek di bawah Lagenda Properties di Pahang, Johor dan Kedah bernilai RM 1.3 bilion dalam tempoh lima ke tujuh tahun akan datang.

 

Pada Januari 2022, Inta Bina berjaya mendapatkan kontrak bernilai RM160.6 juta untuk pembangunan kondominium Sunway Artessa di Wangsa Maju melibatkan kerja-kerja bangunan setinggi 47 tingkat dengan empat tingkat tempat letak kereta dan unit pemaju serta tingkat atas bangunan.

 

"Inta Bina sudah menyiapkan lebih daripada 130 bangunan bernilai RM3.5 bilion di sekitar Lembah Klang dan Johor dengan projek pembangunan hartanah menyumbang lebih 80% kepada pendapatan kumpulan.

 

"Pada 2021, kumpulan ini berjaya meraih lapan kontrak dengan nilai RM393.4 juta dan kini, Inta Bina memiliki tempahan pembinaan bernilai RM1.2 bilion yang memberikan gambaran kewangan jelas untuk tempoh tiga tahun selain memiliki nilai tender sebanyak RM3.6 bilion," katanya dalam satu nota kajia, hari ini.

 

BACA JUGA: Kerjasama Lagenda Property, Inta Bina tubuhkan syarikat Lagenda Inta untuk projek perumahan mampu milik

 

BACA JUGA: JV antara Lagenda Properties, Inta Bina mampu percepatkan pertumbuhan perniagaan ke luar Perak -AmInvestment

 

Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan Inta Bina pada FY2020 dan FY2021 terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 dan Printah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini operasi mereka kembali pulih seperti biasa.

 

"Kami mengunjurkan Inta Bina meraih pendapatan RM20 juta dan RM22.1 juta bagi FY2022 dan FY20223 kerana kejayaan meraih projek bernilai tinggi.

 

"Kami juga mengekalkan saranan 'beli' untuk saham-saham Inta Bina pada harga RM0.41 sesaham dengan potensi dividen yang menarik pada masa akan datang," katanya. - DagangNews.com