Rakyat dinasihatkan sentiasa berwaspada walaupun kadar vaksinasi tinggi - Muhyiddin | DagangNews Skip to main content

Rakyat dinasihatkan sentiasa berwaspada walaupun kadar vaksinasi tinggi - Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman semasa meninjau peniaga di Sembulan, Kota Kinabalu hari ini.

 

 

KUALA LUMPUR 3 Okt - Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan rakyat perlu sentiasa mengambil langkah berwaspada walaupun kadar vaksinasi adalah tinggi dan negara pula akan memasuki tahap endemik tidak lama lagi kerana virus COVID-19 telah lama berada dalam komuniti.

 

Bekas Perdana Menteri itu berkata, transisi dari tahap pandemik ke endemik bukan sahaja harus dilakukan dengan yakin dan berani tetapi juga perlu teratur dan penuh sistematik.

 

“Kita perlu mengambil iktibar dari negara-negara yang mempunyai kadar vaksinasi yang tinggi tetapi bilangan kes positif masih terus meningkat,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini.

 

Katanya, semua pihak harus mengambil langkah yang proaktif dalam melakukan penilaian risiko kendiri dan kerajaan juga akan mengambil langkah-langkah yang perlu dalam memantau dan mengawal risiko penularan virus di sektor-sektor yang dilonggarkan.

 

“Kita sudah pun melangkah ke bulan Oktober, dan sudah tiada negeri berada di Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), dengan majoriti negeri berada di Fasa 2 dan 3 PPN. Wilayah Persekutuan Labuan dan Negeri Sembilan sudah pun di Fasa 4,” katanya.

 

Beliau berkata, sehingga 2 Oktober 2021, sebanyak 87.2 peratus populasi dewasa di Malaysia telah menerima suntikan dos lengkap, lebih awal daripada jangkaan yang dijangkakan hasil usaha pelbagai pihak terlibat dalam menjayakan Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

 

“Kita juga semakin menghampiri 90 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi. Sepertimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan akan memberi kelonggaran rentas daerah dan negeri selepas kadar vaksinasi dewasa mencapai 90 peratus,” katanya.

 

Muhyiddin berkata, berkat usaha dan perancangan yang cekap oleh kerajaan bermula Mei lepas termasuk arahan meningkatkan kadar vaksinasi secara agresif selain mempertingkatkan kapasiti sistem kesihatan awam, bilangan kes positif telah menunjukkan penurunan yang memberangsangkan.

 

Katanya, semakin ramai yang menerima vaksinasi lengkap, semakin ramai yang terlindung dari dijangkiti dengan teruk oleh virus COVID-19.

 

“Dengan itu, beban kepada sistem kesihatan awam juga akan berkurang. Ini mendorong lebih banyak kawalan sektor ekonomi dan sosial dilonggarkan dan lebih cepat kita kembali menjalani kehidupan norma baharu. Sudah semestinya, semua ini dapat membantu mempercepatkan lagi proses pemulihan negara.

 

“Marilah kita terus berusaha untuk kembali ke ke kehidupan norma baharu dengan yakin dan berani. Semoga segala usaha kita diberkati dan dipermudah untuk kebaikan bersama #KeluargaMalaysia,” katanya.

 

Sementara itu, dalam hantaran terbaru beliau selepas menamatkan lawatan singkat ke Sabah hari ini, Muhyiddin sempat meluangkan masa meninjau sendiri para peniaga di kawasan Sembulan, Kota Kinabalu.

 

Menurut beliau, rata-rata perniagaan mula dibuka, selari dengan peralihan Sabah ke Fasa 2 pada Julai lalu. Sabah yang telah mencapai kadar vaksinasi lebih 70% dijangka beralih ke Fasa 3 tidak lama lagi.

 

''Saya juga menerima maklum balas daripada para peniaga mengenai masalah biaya dan modal untuk membuka semula perniagaan mereka selain isu tenaga kerja.

 

''Insya-Allah, perkara yang mereka bangkitkan ini akan saya bawa ke mesyuarat Majlis Pemulihan Negara akan datang untuk dibincangkan dan dicari penyelesaiannya,'' kata beliau.

 

Di sebalik pembukaan sektor ekonomi ini, Muhyiddin berkata beliau sedar banyak industri di Sabah masih terkesan selagi sektor pelancongan belum boleh dijalankan sepenuhnya.

 

''Sekarang ini, kadar vaksinasi di peringkat nasional telah mencapai 87.2% dan dijangka mencecah 90% dalam tempoh kurang seminggu lagi.

 

''Apabila angka ini dicapai, rentas negeri akan dibenarkan dan saya berharap mampu merancakkan semula sektor pelancongan di Sabah,'' ujarnya. – DagangNews.com