SUSULAN tindakan pihak berkuasa melaksanakan operasi meluas di kawasan 'Mini Dhaka' Kuala Lumpur, menahan 1,101 pendatang asing tanpa izin (PATI), rakyat Malaysia menzahirkan kebimbangan dan kegusaran mengenai isu ini yang berterusan selama berdekad lamanya, di mana majikan mengeksploitasi golongan ini demi keuntungan semata-mata.
Majikan ‘menyeludup’ mereka ke negara kita dan memberi mereka pekerjaan, dan akhirnya menghubungi pihak berkuasa bagi menangkap mereka setelah kerja mereka selesai.
Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa sesetengah PATI ini datang ke negara ini secara haram, harus juga kita akui dan sedari akan kekurangan pihak kawalan sempadan negara yang membolehkan kemasukan PATI ini berterusan tanpa diselia.
Harus juga kita sedari bahawa terdapat juga segelintir golongan PATI ini yang masuk ke negara kita kerana dijanjikan pekerjaan yang lumayan, namun ditipu oleh majikan mereka, dan ada juga yang merupakan hasil pemerdagangan manusia.
Ini merupakan masalah yang berterusan, memberi kesan kepada komuniti secara umumnya, sedangkan majikan tidak bermoral terus meraut keuntungan hasil daripada penyeludupan PATI ke negara kita.
Berdekad lamanya kitaran ini membuatkan rakyat Malaysia meragui keberkesanan menangani punca utama - majikan yang membawa masuk PATI ini ke negara kita, hanya untuk membuang mereka setelah kerja mereka selesai.
Mereka dilayan dengan teruk oleh majikan ini, dengan keadaan penginapan yang langsung tidak memuaskan, selain dibayar dengan gaji yang rendah.
Seiring dengan operasi terkini yang mendedahkan skala masalah ini, rakyat Malaysia menuntut lebih daripada tindakan yang dianggap untuk 'memenuhi KPI' semata-mata.
Rakyat mendesak kerajaan untuk mengambil pendekatan holistik, bukan sahaja melalui operasi penguatkuasaan yang ketat tetapi juga melalui pelaksanaan penyelesaian berkekalan.
Tindakan lebih tegas terhadap majikan dan individu yang terlibat dalam amalan eksploitasi ini adalah tuntutan penting yang diharapkan oleh rakyat.
Rakyat juga menyeru kerajaan untuk meningkatkan usaha dalam mengenal pasti, menghukum, dan membongkarkan rangkaian majikan yang menyumbang kepada kemasukan PATI ke negara kita.
Satu strategi menyeluruh yang mengatasi punca utama adalah sangat penting. Perlunya suatu libat sama antara pelbagai pihak bagi mengatasi isu yang kian melarut ini.
Dalam menangani isu yang meluas ini, rakyat Malaysia menzahirkan harapan agar kerajaan tidak hanya memberi tumpuan kepada langkah-langkah reaktif tetapi juga mengambil inisiatif yang lebih proaktif dan holistik.
Ini termasuk mencipta peluang pekerjaan yang sah, memastikan amalan buruh yang adil, dan melaksanakan dasar-dasar yang menghalang majikan daripada mengeksploitasi PATI, mahupun pekerja asing berlesen di negara kita.
Operasi 'gempur' Mini Dhaka baru-baru ini memberikan harapan kolektif kepada rakyat Malaysia agar ia bertindak pemangkin untuk perubahan yang kekal dan berterusan.
Harapan ini bergantung pada keyakinan bahawa dengan pendekatan menyeluruh dan pemikiran progresif, Malaysia dapat mengatasi kitaran eksploitasi dan membina kerajaan dan masyarakat yang adil dan saksama untuk semua. - DagangNews.com