KUALA LUMPUR 14 Dis - Semua kategori pengembara terdiri daripada warganegara Malaysia dan Singapura boleh menggunakan laluan perjalanan lengkap vaksin-laluan darat (VTL-Land) berkuat kuasa 20 Disember ini.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, Pemastautin Tetap Malaysia masih boleh memasuki Malaysia menggunakan VTL-Land ini.
Katanya, pengembara wajib divaksinasi sepenuhnya dan bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun yang tidak divaksinasi, mereka harus ditemani oleh ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap divaksin.
"Pengembara yang layak adalah tertakluk kepada ujian saringan COVID-19 dan keperluan kesihatan terperinci yang ditentukan oleh negara masing-masing.
"Pada masa ini, VTL-Land masih terhad kepada perkhidmatan bas sahaja. Perkhidmatan bas VTL-Land akan menawarkan tiket untuk memenuhi permintaan yang meningkat dan tertakluk kepada status kesihatan awam semasa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pelancaran VTL-Land antara Malaysia dan Singapura pada 29 November lalu bertujuan untuk melancarkan pergerakan merentas sempadan tanpa kuarantin yang mengintegrasikan protokol kesihatan, keselamatan dan kelulusan imigresen.
VTL-Land membolehkan pembukaan semula sempadan darat secara berperingkat, selamat, sistematik dan mampan dengan memperincikan langkah-langkah kesihatan yang perlu diambil dan dilaksanakan kepada pengembara Malaysia dan Singapura.
Menurut MITI, perkhidmatan bas VTL-Land yang ditetapkan di Malaysia akan menggunakan Terminal Bas Larkin Sentral (Larkin Sentral) manakala di Singapura akan menggunakan Terminal Queen Street (QST) dan Woodlands Temporary Bus Interchange (WTBI).
Sebelum membuat pembelian tiket, pengembara yang ingin masuk ke Malaysia menggunakan VTL-Land dikehendaki mendaftar di https://mysafetravel.gov.my manakala pengembara dari Malaysia ke Singapura, dikehendaki mendaftar di https://go.gov.sg/vtl-portal. - DagangNews.com