Rakyat terus berhutang ketika COVID-19 makin mencengkam | DagangNews Skip to main content

Rakyat terus berhutang ketika COVID-19 makin mencengkam

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 3 Mac - Data Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan pembiayaan pada Januari 2021 berkembang 3.8% tahun ke tahun meskipun ekonomi negara masih berdepan cabaran pandemik COVID-19 yang belum berakhir. 

 

Malah, pinjaman bagi isi rumah juga meningkat 4.9% tahun ke tahun manakala perniagaan pula meningkat 2.3%. 

 

Walaupun peningkatan bulan ke bulan tidak jauh berbeza tetapi ia masih lagi positif bagi pinjaman perniagaan yang berkembang 0.7% mengatasi 0.25% bagi pinjaman isi rumah.

 

Pinjaman isi rumah yang semakin mengukuh mencerminkan peminjam memanfaatkan ruang kadar faedah yang rendah manakala bagi peniaga pula, secara tidak langsung menunjukkan landskap ekonomi semakin pulih. 

 

Namun, di sebalik kemampuan membuat pinjaman yang dilihat terus meningkat, paras hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah sekitar 90%. 

 

Selain kebimbangan terhadap kualiti aset perbankan, ia juga menimbulkan persoalan mengenai kemampuan rakyat untuk terus berhutang dan melunaskan bayaran mereka terutama apabila berdepan dengan krisis seperti pandemik COVID-19.

 

Permohonan baharu pinjaman meningkat 10% tahun ke tahun dengan kenaikan pinjaman isi rumah sebanyak 31% terutama bagi hartanah kediaman manakala bagi perniagaan menurun 16%.
 

 

Mengulas mengenai perkara ini, Ketua MIDF Research, Imran Yassin Md Yusof berkata, secara amnya, tiada masalah jika pinjaman dilakukan untuk pemilikan aset tetap dan atau untuk tujuan produktif seperti pinjaman untuk perniagaan. 

 

Di samping itu, katanya, ia juga perlu lihat golongan yang meminjam kerana apda ketika krisis kesihatan ini, masih terdapat golongan yang tidak terkesan dan mampu membayar balik pinjaman. 

 

"Pembiayaan tidak boleh berhenti hanya kerana kita berdepan dengan suatu krisis. Ini adalah kerana pembiayaan adalah satu komponen penting kepada ekonomi negara. 

 

"Jika tiada sebarang pembiayaan, maka tiada pembelian dan ini akan menjejaskan penggunaan swasta, secara langsung menjejaskan perniagaan. Dan jika perniagaan terjejas, maka perkerjaan juga akan terjejas," katanya kepada DagangNews.com hari ini. 

 

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan peningkatan pembiayaan terbahagi kepada dua sebab iaitu jumlah besar pembiayaan tidak berkurang seperti biasa kerana terdapat moratorium pinjaman secara meluas atau secara bersasar oleh kerana tiada pembayaran semasa tempoh tersebut dan pembiayaan bukan sahaja dilakukan oleh rakyat tetapi juga oleh perniagaan. 

 

"Kajian daripada data BNM menunjukkan bahawa pinjaman perumahan merupakan salah satu faktor peningkatan pembiayaan pada Januari. 

 

"Ini adalah satu faktor yang menggalakkan kerana ini adalah satu merupakan pinjaman untuk memiliki aset tetap dan pembiayaan ini merupakan pembiayaan yang mempunyai 'coverage'," katanya.

 

Tambahnya, begitu juga dengan pembiayaan oleh perniagaan di mana ia merupakan pembiayaan yang produktif iaitu untuk menjana pendapatan seperti pembiayaan modal kerja. 

 

Mengenai statistik hutang isi rumah kepada KDNK, katanya, ia juga mempunyai 'coverage' sama ada daripada aset tetap seperti rumah, dan juga aset cair seperti simpanan dan sebagainya. 

 

 

BNM

 

 

Sementara itu, dalam nota kajian, penganalisis Kenanga Research, Clement Chua berkata, meskipun pinjaman baharu meningkat tetapi prosedur kawalan kredit yang ketat mungkin menjejaskan kelulusan pinjaman dalam tempoh terdekat.    

 

Ini kerana, katanya, langkah berjaga-jaga ini perlu diambil ekoran kebimbangan terhadap kualiti aset dengan keseluruhan sistem bagi nisbah pinjaman kasar (GIL) meningkat kepada 1.60% terutama disebabkan oleh perniagaan yang bermasalah selepas tamat moratorium selama 6 bulan pada September 2020.

 

"Akaun yang bermasalah akan terus tertekan selagi wujudnya perintah sekatan yang akan menjejaskan aktiviti perniagaan. 

 

"Namun, kami berpendapat, bantuan bayaran semula hanya memperlahankan perkara yang tidak dapat dielakkan sehingga adanya pemulihan ekonomi," katanya. 

 

Laporan Perkembangan Monetari dan Kewangan bagi Januari 2021 yang dikeluarkan BNM, Jumaat lalu menunjukkan pembiayaan bersih berkembang sebanyak 4.5% dalam keadaan pertumbuhan pinjaman terkumpul yang lebih tinggi pada Januari iaitu 3.8%, berbanding Disember, 3.4%. 

 

Pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul mapan pada 4.9% pada Januari berbanding Disember, 5.0% dengan pengeluaran terus mengatasi purata yang pernah dicatatkan sebelum ini (Januari: RM28.8 bilion, purata bulanan 2017-19: RM27.8 bilion).

 

Pinjaman perniagaan terkumpul meningkat 1.5% selepas mencatatkan pertumbuhan yang lebih rendah pada Disember 2020 yang disumbangkan terutamanya oleh segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

Berdasarkan data BNM, pinjaman diluluskan bagi tujuan pembelian kediaman pada Januari 2021 meningkat kepada RM8.84 bilion berbanding RM7.05 bilion bagi tempoh sama 2020.  

 

Untuk pembelian kenderaan pula, ia berjumlah RM4.025 bilion pada Januari 2021 berbanding tempoh sama sebanyak RM3.89 bilion didorong oleh pengecualian cukai jualan kenderaan penumpang yang ditawarkan sejak Jun 2020. 

 

Bagi modal kerja pula, pembiayaan diluluskan menyusut kepada RM5.16 bilion pada Januari 2021 berbanding tahun sebelumnya, sebanyak RM7.05 bilion

 

Menurut Chua, pengeluaran bagi pinjaman isi rumah telah tergendala (susut 13% bulan ke bulan) yang menunjukkan kemungkinan berlaku pinjaman berlebihan. 

 

"Dalam masa sama, didapati pembayaran semula secara menyeluruh tidak berubah memandangkan peminjam bagi isi rumah dilihat tersepit apabila mereka mengambil bantuan bayaran bersasar yang ditawarkan oleh bank sama ada membuat penangguhan atau pengurangan bayaran bulanan. 

 

"Keadaan ini diimbangi oleh pembayaran semula bagi sektor perniagaan apabila kebanyakan ekonomi mula dibuka (kecuali beberapa sektor seperti pelancongan dan peruncitan)," katanya.  

 

Sementara itu, penganalisis CGS-CIMB, Winson Ng berkata, trend bagi petunjuk utama pinjaman semakin melemah memandangkan pertumbuhan permohonan pinjaman menyederhana daripada 12.3% tahun ke tahun pada Disember 2020 kepada 9.7% pada Januari 2021. 

 

"Kelulusan bagi pinjaman pula semakin menyusut daripada 0.1% tahun ke tahun pada Disember 2020 kepada 3.5% pada Januari 2021 dan ini bukan petanda yang baik bagi pertumbuhan pinjaman bank bagi tempoh 1 hingga 2 bulan akan datang," jelasnya. 

 

Firma itu menyemak semula unjuran pertumbuhan pinjaman bagi 2021 kepada 2 hingga 3% berbanding sebelum ini 4-5%. 

 

Ng berkata, unjuran terbaharu itu adalah sejajar dengan jangkaan penganalisis firma itu yang meramalkan pertumbuhan KDNK kepada 5% berbanding 7.5% sebelum ini. 

 

"Malah, kami berpendapat, PKP 2.0 mempunyai kesan tidak langsung kepada pertumbuhan pinjaman bank kerana ia menjejaskan aktiviti ekonomi dan memperlahankan sentimen perniagaan," katanya. 

 

 

jualan kenderaan

 

 

Beliau berkata, jualan automatif juga semakin melemah pada Januari 2021 yang akan memudaratkan pertumbuhan pinjaman kenderaan. 

 

"Sehubungan itu, kami mengurangkan unjuran pertumbuhan pinjaman tahun ini bagi semua bank sebanyak 2% yang mencerminkan pertumbuhan pinjaman lebih rendah bagi industri," tambahnya. 

 

Mengenai GIL pula, katanya, ia berkembang pada Januari 2021 tetapi kuantum peningkatannya kekal terurus sekitar 4 mata asas bulan ke bulan (daripada 1.56% pada akhir Disember 2020 kepada 1.6% pada akhir Januari 2021). 

 

Katanya, ini adalah sejajar dengan unjuran peningkatan bagi nisbah GIL dan menganggarkan nisbah itu sekitar 2% pada akhir Disember tahun ini.

 

Menurutnya lagi, sekiranya kemerosotan ekonomi terus berlaku sehingga tahun ini, institusi perbankan akan bergelut dengan pertumbuhan pinjaman yang perlahan sekali gus meningkatkan peruntukan kerugian pinjaman bagi tahun ini. 

 

Pada 2020, ekonomi Malaysia menguncup 5.6% setelah tiga suku berturut-turut merekodkan pertumbuhan negatif menjadikan KDNK tahun lalu terburuk sejak 1998 akibat pandemik COVID-19. - DagangNews.com