Ramai pemilik kenderaan diesel individu belum mohon bantuan tunai, mungkin sebab tiada rekod LHDN - Amir Hamzah | DagangNews Skip to main content

Ramai pemilik kenderaan diesel individu belum mohon bantuan tunai, mungkin sebab tiada rekod LHDN - Amir Hamzah

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 2 Julai - Kira-kira 185,000 yang layak menerima manfaat bantuan tunai subsidi diesel di bawah inisiatif Budi Madani untuk pemilik kenderaan diesel individu (BUDI Individu) masih belum mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan.

 

Mungkin satu kebetulan, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ramai daripada yang layak terima manfaat BUDI Individu tetapi tidak mengemukakan permohonan adalah mereka yang tidak mempunyai rekod cukai pendapatan.

 

Antara syarat BUDI Individu ialah pemohon mesti terdiri daripada individu yang berpendapatan tahunan RM100,000 ke bawah.

 

Di Parlimen hari ini, Amir Hamzah berkata, setakat 1 Julai 2024, seramai 115,000 pemilik kenderaan diesel diluluskan bantuan tunai BUDI Individu berjumlah RM2,400 setahun atau RM200 sebulan.

 

Menurut beliau, keseluruhannya jumlah yang layak menerima BUDI Individu adalah kira-kira 300,000 orang dan kerajaan komited memastikan mereka yang layak akan menikmati manfaat bantuan tersebut menerusi kempen kesedaran di media dan memudah cara permohonan mereka.

 

"Terdapat kemungkinan di antara individu yang layak atas sebab sendiri tidak ingin memohon. 

 

"Berdasar data Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di kalangan yang layak, lebih 100,000 tiada rekod mengemukakan borang nyata cukai pendapatan untuk sekurang-kurangnya lima tahun walau di bawah umur persaraan.

 

"Manakala daripada kebanyakan yang tidak mohon bantuan tunai juga tidak mempunyai rekod LHDN. Mungkin ini kebetulan kot," katanya pada sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat. 

 

amir
AMIR HAMZAH AZIZAN

 

Jelas Amir Hamzah, walaupun berdasar data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terdapat hampir 1.2 juta kenderaan diesel tetapi ini termasuk pelbagai kategori yang tidak layak untuk BUDI Individu.

 

Katanya, ini terutama 300,000 kenderaan milik syarikat, 330,000 kenderaan diesel di Sabah, Labuan dan Sarawak, 150,000 kenderaan yang luput cukai jalan dan 60,000 kenderaaan mewah atau individu yang melebihi syarat pendapatan.

 

"Dengan itu, baki yang layak menerima bantuan tunai indiviodu ialah 300,000 pemilik kenderaan diesel persendirian," katanya. - DagangNews.com