Ramssol tawar aplikasi Feet's untuk kakitangan Bank Islam | DagangNews Skip to main content

Ramssol tawar aplikasi Feet's untuk kakitangan Bank Islam

(Dari kiri) Iskandar Shah Zulkarnain, Mohd Muazzam Mohamed, Datuk Seri Cllement Tan Chee Seng dan Brian Liew ketika pelancaran aplikasi Feet's
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Ramssol Group Berhad (Ramssol) melalui anak syarikatnya, Feets Sdn Bhd, hari ini mengumumkan Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) telah memilih aplikasi mudah alih penglibatan pekerja dalaman Ramssol, Feet's untuk berhubung dan melibatkan diri dengan 4,882 pekerjanya.

 

Majlis pelancaran Feet dengan Bank Islam disempurnakan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Ramssol, Datuk Seri Cllement Tan Chee Seng; Ketua Pegawai Maklumat Kumpulan Ramssol, Brian Liew; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed dan Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan Bank Islam, Iskandar Shah Zulkarnain.

 

Tempoh langganan adalah setahun yang mana kakitangan Bank Islam boleh mengakses ciri terbina dalam Feet seperti ujian personaliti, cabaran rakan sebaya dan pertukaran idea melalui Quest, interaksi melalui chatbot Celeste, dan sistem pengiktirafan pekerja untuk memacu proaktif dan penglibatan interaktif.

 

Cllement berkata, penting bagi organisasi untuk terus melaburkan masa dan sumber untuk mewujudkan persekitaran dan budaya syarikat yang mana pekerja berasa terlibat, produktif dan dihargai. 

 

"Oleh itu, adalah penting bagi organisasi membina platform yang memfokuskan kepada kepuasan pekerja, seperti responsif kepada keperluan mereka dan satu yang memberi ganjaran kepada mereka untuk kejayaan mereka.

 

“Komunikasi berkesan antara pekerja dan pengurusan serta penglibatan aktif dalam kalangan kakitangan akan meningkatkan kecekapan kerja keseluruhan dan meningkatkan komitmen pekerja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata, Feet’s menyediakan penyelesaian unik untuk organisasi mengambil peranan yang lebih aktif dalam menyokong pekerja mereka untuk membantu mereka kekal berpuas hati dan produktif.

 

Katanya, aplikasi Feet’s akan membolehkan penglibatan yang lebih baik dan aktif dalam kalangan kumpulan pekerja Bank Islam yang pelbagai daripada kedua-dua barisan hadapan dan pasukan korporat. 

 

"Kami percaya Feet’s boleh memainkan peranan penting dalam menyampaikan pengalaman yang berkaitan untuk menyokong tenaga kerja Bank Islam pada masa hadapan. 

 

"Kami berharap dapat bekerjasama dengan Bank Islam dalam perjalanannya yang berterusan untuk membina pengalaman pekerja terbaik untuk pasukannya di seluruh Malaysia," katanya. - DagangNews.com