Rangka dasar pembangunan ikut kesesuaian Sabah dan Sarawak supaya maju seperti Semenanjung, kata Abg Jo | DagangNews Skip to main content

Rangka dasar pembangunan ikut kesesuaian Sabah dan Sarawak supaya maju seperti Semenanjung, kata Abg Jo

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

KUCHING 23 Okt - Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berharap pendekatan Keluarga Malaysia ini dapat melihat perbezaan-perbezaan yang ada dan merancangkan dasar-dasar pembangunan yang sesuai dengan keadaan di Sarawak mahupun Sabah supaya wilayah-wilayah ini lebih cepat maju mengikut jejak langkah Semenanjung.

 

Menurut beliau, dalam keluarga Malaysia yang besar, beliau percaya kebolehan untuk mendengar keluh kesah ahli-ahli keluarga juga penting untuk mempastikan suasana keluarga terus kekal mesra dan muhibbah.

 

''Tidak dapat dinafikan bahawa Kerajaan Persekutuan telah melaksanakan pelbagai program pembangunan di Sarawak, termasuk projek Lebuhraya Pan Borneo, namun apa yang telah terlaksana mungkin belum mencukupi untuk  memastikan Sarawak boleh mengejar tahap pembangunan seperti di Semenanjung.

 

''Ibarat dalam suasana sebuah keluarga, setiap ahli keluarga itu mempunyai perbezaan dari segi perlakuan dan memerlukan layanan yang berbeza-beza.

 

''Sebagai Ketua Kerajaan Sarawak, saya melihat bahawa kaedah yang berbeza haruslah direncanakan untuk mengangkat status ekonomi di Sarawak kerana fundamental ekonomi negeri ini agak berbeza daripada di Semenanjung,'' kata beliau dalam ucapan pada majlis pelancaran Keluarga Malaysia di sini malam ini. 

 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melakukan upacara perasmian tersebut.


Abang Johari berkata, beliau menganggap persetujuan Perdana Menteri seperti yang dilaporkan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan supaya selari dengan semangat MA63 dan keistimewaan Sarawak dan Sabah, adalah suatu permulaan yang amat baik untuk mendengar dan menimbangkan permintaan-permintaan ahli keluarga Malaysia kita dari Sarawak dan Sabah.

 

''Terima kasih Yang Amat Berhormat dan semoga pindaan-pindaan tersebut nanti berjaya dibentangkan di Parlimen dan akan mendapat sokongan semua Ahli
Parlimen,'' kata beliau.

 

 

abg jo
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg

 

 

Ketua Menteri Sarawak berkata,  sebagai satu Keluarga Malaysia yang besar ini, semua akur bahawa pasti akan berlaku perbezaan pendapat dan pandangan dalam pelbagai aspek pembangunan negara ini.

 

''Namun, saya percaya keadaan ini hanya seketika sebagai mana bidalan yang biasa kita kongsikan … biduk berlalu, kiambang bertaut.

 

''Kami di Sarawak amat berharap sebagai sebahagian daripada Keluarga Malaysia yang dihasratkan oleh Perdana Menteri, usaha kami untuk supaya memastikan semangat, hak dan keistimewaan Sarawak, dan juga Sabah, dalam konteks Perjanjian Malaysia 1963 dihormati akan semakin difahami oleh ahli keluarga kita di negeri-negeri lain.

 

''Usaha kami untuk mengembalikan hak-hak yang telah terhakis bukanlah semata-mata untuk kepentingan Sarawak tetapi haruslah dilihat sebagai langkah ke arah untuk memperkukuhkan lagi jati diri warga Sarawak sebagai sebahagian daripada Keluarga Malaysia yang besar,'' kata Abang Johari. - DagangNews.com