KUALA LUMPUR 6 Dis - Ericsson dan Digital Nasional Bhd (DNB) mencatat rekod jarak dunia untuk kelajuan gigabit melalui rangkaian 5G Malaysia, sekaligus membuka laluan untuk kesalinghubungan yang berkualiti tinggi, mampu milik dan berkelajuan tinggi.
Ericsson dalam satu kenyataan berkata, ujian itu dijalankan pada frekuensi 28 gigahertz (GHz) milimeter gelombang (mmWave), mencapai daya pemprosesan puncak satu gigabit sesaat (Gbps) pada jarak rekod 11.18 kilometer dari antena radio dalam Butterworth, Pulau Pinang ke satu titik di luar pulau.
Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hagerbro berkata, dengan memanfaatkan teknologi akses wayarles tetap (FWA) 5G dalam pencapaian ini, syarikat itu menunjukkan keupayaannya untuk menyediakan contoh yang kukuh bagi rangkaian 5G bertaraf dunia di Malaysia.
“Pencapaian ini akan membolehkan Ericsson bekerjasama dengan DNB bagi menyediakan kesalinghubungan dengan pantas untuk sekolah, hospital, perniagaan kecil dan sederhana serta kawasan yang boleh mendapat manfaat daripada kesalinghubungan secara cekap dari segi kos, (serta) ke lokasi yang kurang mendapat perkhidmatan,” katanya.
Menurutnya, rekod jarak baharu itu adalah bukti keupayaan mmWave dengan sokongan perisian jarak jauhnya dalam menyediakan penyelesaian sambungan internet berkualiti tinggi yang menjimatkan kos dan berkualiti tinggi melalui FWA di kawasan yang mempunyai sambungan berwayar yang tidak selalu dapat dilaksanakan dari segi ekonomi.
Katanya, ini membuka jalan kepada pengendali rangkaian mudah alih tempatan menyediakan kesalinghubungan lebih baik dan luas untuk menjangkau lebih ramai pengguna dan perusahaan kerana ia membolehkan penyampaian sambungan jalur lebar wayarles menjimatkan kos, berkualiti tinggi, menggunakan penyelesaian FWA dalam kawasan liputan 5G sedia ada.
“Di wilayah yang mempunyai pasaran jalur lebar yang tidak mendapat perkhidmatan atau kurang mendapat perkhidmatan, FWA mempunyai potensi yang besar untuk menutup jurang digital di lokasi luar bandar.
"Ia melengkapkan transformasi digital di Malaysia yang sudah mula mendapat manfaat daripada jangkauan, kelajuan pelancaran dan pengalaman pengguna yang dipertingkatkan (melalui ) rangkaian 5G,” katanya. - DagangNews.com