Rangkaian televisyen Media Prima, Astro masih ada daya tarikan - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

Rangkaian televisyen Media Prima, Astro masih ada daya tarikan - CGS CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Julai - Tanggapan bahawa stesen televisyen (TV) tradisional terutamanya Media Prima tidak lagi relevan dengan kehadiran persaingan daripada media digital bakal ‘melenyapkan’ institusi tersebut pada masa akan datang.

 

Firma penyelidikan, CGS-CIMB Research sebaliknya tampil menangkis persepsi berkenaan yang menekankan bahawa para pengiklan masih melihat TV sebagai medium paling berkesan untuk mencapai penonton lebih meluas. 

 

Data Nielsen Malaysia menunjukkan perbelanjaan iklan (adex) media tradisional sebelum faktor pengurangan jatuh pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) 9.8% bagi 2014 hingga 2019. 

 

Malah, antara tahun kewangan 2014 (FY14) hingga FY19, hasil tahunan cabang TV Media Prima merudum dua digit dari segi perbandingan tahun ke tahun (y-o-y).

 

“Bagaimanapun, Nielsen tidak mengambil kira jualan pengiklanan TV yang berbayar. Sekiranya kita gabungkan adex (faktor pengurangan bersih) Rangkaian TV Media Prima (MPTN) dan Astro, hasil pengiklanan penyiaran TV linear secara keseluruhannya hanya menyusut sebanyak 4.7% CAGR bagi 2014 hingga 2019. 

 

“Dalam tempoh sama, hasil pengiklanan TV Astro meningkat sebanyak 2.4% CAGR dan melonjakkan penguasaan pasarannya daripada 33.8% pada 2014 kepada 48.4% pada 2019,” jelas CGS-CIMB dalam satu nota kajian. 

 

Firma itu berkata, data Nielsen turut menunjukkan hasil iklan MPTN kian meningkat semula pada Januari 2020. 

 

Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada Mac 2020 menjejaskan lonjakan pertumbuhan hasil iklan y-o-y MPTN, namun ia kembali pulih pada Ogos 2020, tambah CGS-CIMB.  

 

Bagi CGS-CIMB, TV tetap mempunyai capaian penonton yang lebih luas walaupun internet boleh menyediakan multimedia dan pengalaman pelbagai deria.

 

Jika dilihat pada penembusan jalur lebar berkelajuan tinggi di Malaysia, ia hanya mencatatkan kadar 34.5% setakat separuh pertama tahun 2020 (1H20), sementara hampir semua isi rumah mempunyai set TV. 

 

“Selain itu, kami percaya pengiklan dari syarikat besar tidak tertarik kepada ciri-ciri ad blocks dan skip-ad serta TV linear masih lagi menjadi medium pilihan bagi penyiaran langsung, yang menimbulkan perasaan 'mesti dilihat' untuk melekatkan penonton ke skrin.

 

“MPTN malah membawa konsep penyiaran langsung ke tahap baharu dengan mewujudkan program yang khusus untuk pengiklan, terutamanya pemain industri perdagangan dalam talian Shopee dan Lazada, untuk membuat jualan secara penyiaran langsung,” tambah CGS-CIMB.

 

CGS-CIMB meletakkan Astro dan Media Prima sebagai pilihan utama dalam sektor media, di mana masing-masing merupakan pemain dominan dalam TV berbayar dan ruang penyiaran percuma. - DagangNews.com