Rangkaian Tindakan Bencana GLC/GLIC peruntuk RM50 juta bantu mangsa bencana | DagangNews Skip to main content

Rangkaian Tindakan Bencana GLC/GLIC peruntuk RM50 juta bantu mangsa bencana

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Dis -Rangkaian Tindak Balas Bencana GLC/GLIC (GDRN) diaktifkan dan memperuntukkan sejumlah RM50 juta untuk membantu mereka yang terjejas dengan bencana yang melanda ketika ini.

 

Telekom Malaysia Berhad dalam satu kenyataan berkata, bantuan itu terdiri daripada geran padanan sebanyak RM25 juta daripada kerajaan dan baki RM25 juta disumbangkan GLC/GLIC.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar berkata, sebagai ahli GDRN, yang diterajui bersama oleh TM sebagai Sekretariat dengan Yayasan Hasanah dari Khazanah Nasional Bhd, kami berganding bahu dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) termasuk agensi lain bagi membantu memantapkan bantuan bencana yang lain

 

"Bersama-sama dengan ahli-ahli GDRN, TM akan menggerakkan usaha menyelamat dan bantuan untuk memastikan keperluan asas termasuk penjagaan kesihatan dapat diberikan kepada mereka yang memerlukan.

 

"Rejimen Semboyan Diraja Askar Wataniah Telekom Ke-56 yang terdiri daripada sukarelawan dari TM telah dikerahkan ke medan untuk memberi bantuan dan perkhidmatan kecemasan yang melibatkan talian perhubungan di seluruh negara.

 

"Ketika kami bersiap sedia dalam keadaan yang mungkin tidak terjangka, kami berharap rakyat Malaysia akan menerima bantuan yang mereka perlukan. Barisan hadapan kami akan berada di lapangan sepanjang masa untuk memulihkan perkhidmatan di negeri-negeri yang terjejas," katanya.

 

Sementara itu, Imri berkata beberapa perkhidmatan telekomunikasi yang disediakan TM dibeberapa negeri seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang mengalami kerosakan sehingga wujud gangguan perkhidmatan di beberapa kawasan.

 

Dalam pada itu, TM terpaksa menutup bekalan tenaga dan peralatan rangkaian di beberapa kawasan sebagai langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan mereka yang berada di sekitarnya selain meminimumkan sebarang risiko yang berpotensi.

 

"Kebimbangan segera kami menjurus ke atas 50,000 pelanggan unifi, streamyx, talian tetap dan unifi mobile kami yang terjejas, yang mana, kami bekerja keras untuk memastikan perkhidmatan komunikasi dipulihkan segera," katanya. - DagangNews.com