KUALA LUMPUR 28 Okt - Ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dilihat mampu memperkasakan lagi peranan industri kimia sebagai pemboleh rantaian bekalan.
Majlis Industri Kimia Malaysia (CICM) berkata, negara mempunyai potensi untuk berkembang sebagai destinasi pelaburan yang lebih menarik serta dirangsang untuk membangunkan keupayaan tempatan terutama dalam segmen bahan kimia khusus.
Katanya, pembangunan dalam keupayaan tempatan mampu mempercepatkan pengembangan segmen bahan kimia khusus, ini seterusnya, membawa kepada peningkatan nilai tambahan dalam aktiviti pembuatan tempatan.
"Malah, ratifikasi CPTPP juga akan meluaskan lagi akses pengeluar kimia Malaysia ke dalam pasaran baharu seperti Kanada, Mexico dan Peru, yang belum lagi dilindungi oleh mana-mana perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang sedia ada," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 5 Oktober lalu, Kabinet bersetuju meratifikasi CPTPP yang menyaksikan kerajaan telah menyerahkan Instrumen Ratifikasi (IOR) kepada depositari CPTPP, New Zealand pada 30 September lalu.
Penyerahan IOR menyaksikan Malaysia menjadi negara ke-9 telah meratifikasikan CPTPP, perjanjian perdagangan bebas (FTA)yang dimeterai pada 8 Mac 2018.
Selain Malaysia, lapan lagi negara iaitu Australia, Kanada, Jepun, Mexico, New Zealand, Singapura, Vietnam dan Peru telah meratifikasi CPTPP.
Menurut CICM, United Kingdom berada di peringkat akhir untuk menzahirkan persetujuan terhadap perjanjian tersebut, manakala China, Taiwan, Ecuador dan Costa Rica telah memohon menyertai CPTPP.
"Kemasukan mereka akhirnya akan memberikan peluang akses pasaran yang lebih luas dan lebih mendalam kepada pengeksport kimia Malaysia," katanya. - DagangNews.com