Rayuan JAKS terhadap tuntutan Star Media berjaya, redakan kegelisahan pelabur | DagangNews Skip to main content

Rayuan JAKS terhadap tuntutan Star Media berjaya, redakan kegelisahan pelabur

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Julai - Kejayaan JAKS Resources Berhad yang bebas daripada membayar sebarang tuntutan kepada Star Media Group Berhad dapat mengembalikan semula reputasi syarikat, menurut firma penyelidikan, Malacca Securities Sdn Bhd.

 

Walaupun perkembangan itu tidak mendatangkan sebarang impak kewangan ke atas JAKS, namun ini dilihat dapat meredakan ketidaktentuan yang menyelubungi para pelabur sepanjang dua tahun lalu terhadap kebimbangan rosot nilai akibat isu berkenaan.

 

“Melangkah ke hadapan, JAKS akan terus menumpukan ke arah operasi semasa selain pelan pengembangan perniagaan, terutamanya di dalam segmen perniagaan tenaga dan tenaga boleh diperbaharui,” jelas penganalisis di Malacca Securities, Kenneth Leong dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, Star telah memfailkan saman terhadap JAKS pada 30 April 2019 dan menuntut baki harga pembelian sebidang tanah oleh syarikat berjumlah RM134.5 juta, bersama-sama faedah pembayaran lewat bernilai RM50.5 juta. 

 

JAKS menjalankan pembangunan Pacific Star di atas tanah berkenaan, di mana melibatkan pembinaan 15 tingkat blok pejabat (Menara A), namun syarikat terlepas tarikh akhir untuk menyerahkan menara itu kepada Star setelah penangguhan selama 28 bulan.

 

Rentetan daripada pertikaian tersebut, JAKS telah berjaya dalam rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan syarikat membayar tuntutan berkenaan kepada Star. 

 

Ekoran daripada perkembangan yang baik itu, Leong berkata, firma penyelidikan itu tidak membuat sebarang perubahan kepada unjuran prestasi kewangan syarikat sementara menunggu keputusan suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY21) yang secara tentatifnya bakal diterbitkan penghujung bulan hadapan. 

 

“Oleh itu, kami mengekalkan saranan ‘beli’ saham JAKS, dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM0.72 (sesaham),” jelas Leong lanjut.

 

Mengulas mengenai operasi kilang JAKS di Vietnam, Leong berkata, baki kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) yang bernilai RM81.7 juta akan dikira di dalam suku tahun berikutnya, sementara pesanan buku pembinaan tempatan syarikat berjumlah RM232.6 juta setakat 1QFY21 bakal mempertahankan hasil syarikat sehingga 2022. 

 

Berikutan situasi semasa yang mencabar, Leong menegaskan bahawa firmanya memahami sektor pembinaan dan hartanah dijangka terus terganggu akibat pemberhentian sementara tempahan kerja sehingga aktiviti ekonomi negara kembali pulih ke tahap sebelum COVID-19 secara beransur-ansur. 

 

“Namun kami masih menjangkakan loji jana tenaga Hai Duong akan menjadi pemacu keuntungan utama pada masa akan datang, di mana akan mengurangkan impak kelemahan segmen lain.

 

“Selepas tempoh mencabar pada FY20, kami menjangkakan JAKS bakal terus mencatatkan keuntungan pada tempoh beberapa suku tahun akan datang,” kata Leong lagi. - DagangNews.com