RCEP bakal bawa kesan positif kepada perdagangan Malaysia dan antarabangsa, kata Ahli Ekonomi | DagangNews Skip to main content

RCEP bakal bawa kesan positif kepada perdagangan Malaysia dan antarabangsa, kata Ahli Ekonomi

Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH

KUALA LUMPUR 24 Jan Malaysia berpeluang mendapat manfaat besar apabila Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) berkuat kuasa mulai 18 Mac ini.

 

Ahli Ekonomi, MIDF Research, Abdul Mui'zz Morhalim berkata, penyertaan Malaysia dalam perjanjian perdagangan pelbagai hala dijangka membawa kesan positif kepada aktiviti perdagangan dan perniagaan asing Malaysia berikutan akses pasaran yang lebih besar.

 

“Malaysia dijangka mendapat akses pasaran yang lebih besar kira-kira 30% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta peraturan perdagangan dan pelaburan yang diselaraskan dan diperkemas. 

 

“Sebagai ekonomi yang sangat terbuka dan pemain dalam rantaian bekalan global, Malaysia berpeluang mendapat manfaat daripada peluang apabila RCEP berkuat kuasa, katanya kepada DagangNews.com hari ini.

 

Beliau diminta mengulas kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bahawa Malaysia akan menguatkuasakan RCEP bermula 18 Mac ini, selepas menjadi negara ke-12 secara rasmi melengkapkan surat cara ratifikasi (IOR) perjanjian itu.

 

MITI berkata, IOR sudah diserahkan kepada Sekretariat ASEAN pada 17 Januari lalu, selepas mendapat mandat Jemaah Menteri pada 12 Januari untuk meratifikasi RCEP.


 

Abdul Mui'zz Morhalim
                         Abdul Mui'zz Morhalim

 


Dengan penyerahan surat cara ratifikasi kepada Sekretariat Asean, Malaysia akan menyertai 11 negara lain yang telah melengkapkan proses ratifikasi iaitu Singapura, China, Jepun, Brunei Darussalam, Kemboja, Laos, Thailand, Vietnam, Australia, New Zealand dan Korea Selatan.

 

RCEP adalah Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) terbesar di dunia yang meliputi 15 negara dengan 2.2 bilion atau hampir satu pertiga (29.5 %) penduduk dunia, mewakili AS$25.8 trilion (RM108 trilion) atau 29.4 % keluaran dalam negara kasar (KDNK) dunia, berdasarkan Data Bank Dunia 2019.

 

Abdul Mui'zz berkata walaupun peringkat pembangunan berbeza antara negara, firma di Malaysia dan negara serantau lain perlu meningkatkan keupayaan mereka untuk bersaing di peringkat antarabangsa. 

 

“Mereka juga harus memastikan amalan perniagaan dan penawaran produk mereka mematuhi peraturan dan piawaian RCEP. 


 

rcep

 


“Saya menjangkakan kerajaan akan memberikan sokongan dan bantuan kepada perniagaan tempatan termasuk PKS untuk meningkatkan dan meraih faedah daripada RCEP. Sebagai contoh, sudah ada program fasilitasi perdagangan dan latihan yang ditawarkan oleh MATRADE untuk PKS tempatan menuju ke peringkat global, ujarnya.

 

Sebaliknya, Abdul Mui'zz juga mengingatkan perniagaan tempatan juga perlu bersedia untuk menghadapi persaingan yang lebih hebat daripada perniagaan di negara anggota lain. 

 

“Namun begitu, saya menjangkakan kerajaan dan pihak berkuasa di Malaysia akan memastikan kepentingan perniagaan tempatan terutamanya PKS akan dilindungi di tengah-tengah persaingan yang semakin meningkat,” tambah beliau.  - DagangNews.com