RCEP sumbang RM16 bilion setahun dalam KDNK | DagangNews Skip to main content

RCEP sumbang RM16 bilion setahun dalam KDNK

Mohamed Azmin Ali

Mohamed Azmin Ali 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Malaysia melalui Perjanjian Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) antara negara-negara ASEAN dijangka memperolehi peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM16 bilion setahun.

 

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, selain KDNK, prestasi eksport negara juga dijangka turut meningkat sebanyak RM21 bilion setahun.

 

"Berdasarkan laporan oleh Peterson Institute for International Economics yang dikeluarkan pada bulan Jun 2020, RCEP dijangka menyumbang secara positif kepada ekonomi Malaysia.

 

"Unjuran awal oleh MIDF, sebuah agensi di bawah MITI, menunjukkan bahawa Negara akan memperolehi peningkatan KDNK sebanyak RM16 bilion setahun setelah RCEP berkuatkuasa. 

 

"Matrade (Perbadanan Pembangunan Perdanagan Luar Malaysia) yang bertanggungjawab ke atas promosi dan pembangunan perdagangan Malaysia, membuat unjuran prestasi eksport Malaysia ke pasaran RCEP akan meningkat sebanyak RM21 bilion setahun," jelasnya ketika menjawab soalan Senator Datuk T. Mohan dalam sesi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

 

T.Mohan meminta beliau menyatakan sejauh manakah penyertaaan Malaysia dalam RCEP dapat membantu dalam proses pemulihan Malaysia daripada impak COVID-19.

 

RCEP merupakan keseragaman FTA ASEAN+1 sedia ada yang melibatkan Jepun, Korea, China, Australia dan New Zealand, ke dalam satu perjanjian yang menyeluruh dan lengkap bertujuan meningkatkan lagi perdagangan dan pelaburan antara negara-negara peserta. 

 

Perjanjian RCEP merupakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang terbesar pernah ditandatangani Malaysia yang melibatkan 15 negara.

 

 T. Mohan
 T. Mohan

 

Perjanjian tersebut merangkumi 2.2 bilion atau hampir sepertiga (29.7%) penduduk dunia dan menyumbang sebanyak AS$24.8 trilion atau hampir satu pertiga (28.9%) KDNK dunia berdasarkan data Bank Dunia pada tahun 2018.

 

Dalam usaha untuk merancakkan semula aktiviti ekonomi dan perniagaan negara yang terkesan dengan impak penularan COVOD-19, Mohamed Azmin berkata, RCEP berupaya membantu pihak industri tempatan mempertingkatkan akses barangan atau produk tempatan ke pasaran negara-negara peserta RCEP dengan menikmati preferential treatment melalui penghapusan dan pengurangan tarif secara progresif.

 

Selain tarif, pengurangan halangan bukan tarif atau non-tariff measures (NTMs) yang merupakan salah satu cabaran utama dalam menembusi pasaran antarabangsa juga merupakan manfaat utama penyertaan Malaysia dalam RCEP. 

 

Tambahnya, syarikat-syarikat tempatan dapat memperkukuhkan integrasi dalam rantaian nilai dan bekalan global (global value and supply chain) dengan pembekalan bahan mentah, komponen, barangan separa siap dan siap di pasaran RCEP.

 

Penyedia perkhidmatan termasuk e-dagang juga berpeluang menikmati akses pasaran yang lebih besar dari segi penawaran rentas sempadan dan mewujudkan keberadaan komersial di pasaran RCEP.

 

"Keyakinan para pelabur khususnya pelabur asing dijangka dapat diperkukuhkan seterusnya menyumbang kepada daya tarikan negara sebagai destinasi pelaburan terpilih di rantau ini.

 

"Perjanjian RCEP dijangka dapat menyegerakan proses pemulihan ekonomi serantau dan negara kita pasca COVID-19 menerusi pembukaan pasaran, pertambahan pelaburan, peningkatan fasilitasi perdagangan dan integrasi industri khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ke dalam rantaian nilai serantau," jelas beliau lagi. - DagangNews.com