RCEP: Syarikat Malaysia bersedia hadapi cabaran untuk bersaing | DagangNews Skip to main content

RCEP: Syarikat Malaysia bersedia hadapi cabaran untuk bersaing

Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH

KUALA LUMPUR 25 Jan Syarikat Malaysia bersedia menghadapi cabaran untuk bersaing di persada antarabangsa apabila Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dikuatkuasa bermula 18 Mac ini.

 

Menyambut  baik langkah kerajaan meratifikasi RCEP, Penasihat Projek, Acasys Group Sdn Bhd, Ir. KC Tey berkata syarikatnya sudah bersedia untuk bersaing dengan syarikat asing dari negara ahli.

 

Acasys Group mengkhusus dalam perkhidmatan seni bina profesional, pembangunan, pembinaan dan pengurusan projek perbandaran dan bangunan di Malaysia dengan lebih 25 tahun pengalaman dalam industri bangunan dan pembinaan.

 

“Kami berpendapat Malaysia akan mendapat manfaat yang besar daripada langkah ini kerana ini akan membuka lebih banyak pasaran untuk syarikat Malaysia,” katanya kepada DagangNews.com  hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan bahawa Malaysia akan menguatkuasakan RCEP bermula pertengahan Mac ini, selepas menjadi negara ke-12 secara rasmi melengkapkan surat cara ratifikasi (IOR) perjanjian itu.

 

Namun katanya, kerajaan mesti memperkemas dan mengurangkan kerenah birokrasi serta mengurangkan kos untuk menjalankan perniagaan di Malaysia.

 

“Malaysia juga perlu memberi tumpuan untuk melatih rakyat kita dalam kemahiran yang berkaitan seperti IT, mahir dalam penggunaan peralatan moden dan menawarkan insentif kepada multi nasional (MNC) untuk memindahkan teknologi mereka,” kata Tey.


 

KC Tey
                                    KC Tey

 


Dengan penyerahan surat cara ratifikasi kepada Sekretariat Asean, Malaysia akan menyertai 11 negara lain yang telah melengkapkan proses ratifikasi iaitu Singapura, China, Jepun, Brunei, Kemboja, Laos, Thailand, Vietnam, Australia, New Zealand dan Korea Selatan.

 

Berdasarkan Data Bank Dunia, RCEP adalah Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) terbesar di dunia yang meliputi 15 negara dengan 2.2 bilion atau hampir satu pertiga (29.5%) penduduk dunia, mewakili AS$25.8 trilion (RM108 trilion) atau 29.4% keluaran dalam negara kasar (KDNK) dunia.

 

ARTIKEL BERKAITAN: RCEP bakal bawa kesan positif kepada perdagangan Malaysia dan antarabangsa, kata ahli ekonomi

 

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Dewan Perniagaan Era Baru Malaysia (DPUEBM), Tengku Ahmad Rosdi Tengku Abdullah berkata, pelaksanaan Perjanjian RCEP  membuktikan kesungguhan kerajaan mendokong sistem perdagangan pelbagai hala.

 

 Perjanjian ini juga bukti kerajaan berusaha mengukuhkan integrasi ekonomi serantau dan menyokong agenda pembangunan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

 

Menyokong sepenuh usaha kerajaan, katanya RCEP bakal menyumbang secara ketara akses pasaran yang signifikan bagi syarikat-syarikat di negara ini.

 

Ia juga membolehkan pembentukan rantaian  nilai baharu, meningkatkan aktiviti ekonomi, dan memperkukuhkan hubungan rantaian bekalan di seluruh Asia Pasifik setelah bergelut dengan cabaran ekonomi akibat pandemik COVID-19.


 

 Tengku Ahmad Rosdi Tengku Abdullah
Tengku Ahmad Rosdi Tengku Abdullah

 


Tengku Ahmad Rosdi berkata, selain daripada pengurangan halangan perdagangan, RCEP akan menarik syarikat asing yang berminat memasuki pasaran ASEAN yang bersepadu kerana perjanjian itu akan meningkatkan ketelusan dalam perdagangan dan pelaburan. 

 

“Perjanjian  ini juga akan memudahkan kerjasama teknikal yang maju melalui pendigitalan dan pembuatan pintar,” katanya ketika dihubungi.

 

Justeru membantu perusahaan kecil dan sederhana Malaysia (PKS) dalam membangunkan produk lebih inovatif dan kompetitif untuk membolehkan kemasukan yang lebih besar dalam rantaian bekalan global serta serantau, “ ujarnya. - DagangNews.com