Rebat cukai tanah kepada penduduk Johor selama 3 tahun | DagangNews Skip to main content

Rebat cukai tanah kepada penduduk Johor selama 3 tahun

JOHOR BAHRU 29 Sept. - Kerajaan Johor memberi rebat cukai tanah kepada pemilik hartanah di seluruh negeri itu selama tiga tahun sehingga 2022, kata Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.

Beliau berkata bermula 1 Oktober ini, semua pemilik hartanah di negeri itu akan menikmati pemberian rebat cukai tanah 15% bagi tahun ini.
 

mbj
                                                                   Hasni Mohammad


Menurutnya, rebat cukai 10% akan diberi pada 2021 manakala  5% pada 2022, seperti yang diumumkan dalam penggulungan Rundingan Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor 2020, pada Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Yang Ke-14, 13 September lalu.

"Tempoh bayaran cukai tanah sudah dilanjutkan hingga 14 Disember ini, manakala denda lewat cukai tanah semasa akan dikenakan bermula 15 Disember ini.

"Bagi pemilik hartanah yang tidak menjelaskan cukai tanah semasa 2020 bermula 15 Disember, cukai tanah tersebut akan dikira sebagai tunggakan dan denda lewat akan dikenakan mulai tarikh tersebut," katanya dalam kenyataan media, di sini.

Hasni berkata, pemberian rebat 15% itu tidak akan diberi kepada pembayar cukai tanah yang menjelaskan cukai tanah selepas 14 Disember, manakala mereka yang sudah menjelaskan bayaran cukai pada tahun 2020, lebihan bayaran akan dikreditkan ke tahun berikutnya.

"Ini bermakna pada 2021, rebat yang diterima adalah sebanyak 25%. Bagi menikmati pemberian rebat pada tahun 2021 dan 2022, semua pemilik tanah perlu menjelaskan cukai tanah tahun berkenaan sebelum atau selewat-lewatnya pada 31 Mei," katanya. - DagangNews.com