Rekod baharu, 197,963 dos vaksin diberikan semalam | DagangNews Skip to main content

Rekod baharu, 197,963 dos vaksin diberikan semalam

Vaksin COVID-19. Gambar Twitter JKJAV.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 15 Jun - Malaysia mencatatkan rekod baharu jumlah pemberian vaksin harian sebanyak 197,963 dos semalam.

 

Menurut data yang dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), jumlah tersebut meliputi pemberian 142,890 dos pertama dan 55,073 bagi dos kedua.

 

Jumlah harian yang dicatatkan itu jauh melonjak berbanding 128,912 yang dicatatkan pada 13 Jun 2021.

 

.

 

Peningkatan jumlah harian itu sekali gus menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin di negara ini mencecah 4.6 juta.

 

Sehingga semalam, sebanyak 3.2 juta dos vaksin pertama telah diberikan.

 

Sementara itu, pemberian vaksin bagi dos kedua pula adalah sebanyak 1.4 juta.

 

.

 

Selain jumlah pemberian vaksin, Malaysia turut mencatatkan peningkatan dalam jumlah pendaftaran program vaksinasi negara.

 

Hingga kini, Malaysia merekodkan pendaftaran 59.00% dengan jumlah kumulatif sebanyak 13.81 juta.

 

.

 

Berdasarkan pecahan mengikut negeri, Selangor kekal mendahului jumlah pendaftaran secara keseluruhan sebanyak 3.5 juta.

 

Selain Selangor, Sarawak, Johor dan Kuala Lumpur masing-masing turut mencatatkan jumlah pendaftaran yang tinggi iaitu 1.3 juta, 1.7 juta dan 1.1 juta. - DagangNews.com