Rentas Negeri: Jangan naikkan semula lekuk kes COVID-19 kata KJ | DagangNews Skip to main content

Rentas Negeri: Jangan naikkan semula lekuk kes COVID-19 kata KJ

PUTRAJAYA 11 Okt - Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menasihatkan orang ramai supaya terus memakai pelitup muka, mematuhi SOP dan amalkan TRIIS pada hari bermulanya kebenaran merentas negeri di seluruh negara ini.

 

''Ketika kerajaan membenarkan perjalanan merentas negeri semula hari ini, perhatikan imej ini.

 

''Kita sudah turun dari puncak bencana dan kesulitan. Mari pastikan tidak berlaku lagi kemuncak seumpamanya,'' kata Menteri Kesihatan dalam hantaran menerusi Twitter di sini hari ini.

 

Sementara itu, ketika negara mencapai sasaran 90 peratus indvidu dewasa yang lengkap menerima vaksinasi COVID-19, semalam, masih terdapat 5.2% individu yang tidak divaksin.

 

Berdasarkan laman web COVIDNOW, setakat jam 11.59 malam tadi, peratusan berkenaan membabitkan kira-kira 1.224 juta penduduk dewasa di seluruh negara.

 

 

KJ

 

 

Mengikut data yang dikongsikan, Sabah adalah negeri yang terendah dari segi jumlah populasi dewasanya yang lengkap divaksinasi iaitu 65.1%, diikuti Kelantan (73.6%), Kedah (79.5%) dan Perak (79.8%).

 

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata, pihaknya optimis semua negeri akan mencapai kadar vaksinasi lengkap 80% pada bulan ini, kecuali Sabah.

 

Susulan itu, katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) akan menggiatkan program jangkau luar (outreach) di negeri itu, termasuk kempen gerak vaksinasi kepada masyarakat.

 

 

KJ

 

 

Sementara itu, seramai 21,073,482 individu dewasa di negara ini lengkap divaksinasi sehingga semalam, sekali gus mencapai sasaran 90% yang ditetapkan.

 

Peratusan itu dicapai selepas 70,408 individu melengkapkan vaksinasi COVID-19 mereka semalam, yang membolehkan perjalanan rentas negeri dan keluar negara dibenarkan bermula hari ini, seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Selain itu, seramai 22,185,520 individu dewasa sudah pun menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

 

Bagi vaksinasi untuk golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun, seramai 7.4% sudah lengkap divaksinasi membabitkan 231,714 individu, sehingga semalam, manakala 72.2% atau kira-kira 1.27 juta sudah menerima satu dos vaksin.

 

PICK Remaja dimulakan secara rasmi pada 20 September lalu, yang mensasarkan 3.2 juta remaja di negara ini untuk menerima suntikan vaksin COVID-19. - DagangNews.com