Resipi warisan ibu jana pendapatan Sahabat Usahawan AIM | DagangNews Skip to main content

Resipi warisan ibu jana pendapatan Sahabat Usahawan AIM

Zarina Bakar menunjukkan 14 jenis pes jenama sendiri menerusi resipi ibunya.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

TANJUNG DAWAI 31 Okt - Kegigihan seorang wanita mengusahakan resipi rempah kari arwah ibu akhirnya berbaloi apabila makanan tersebut mendapat sambutan baik daripada pelanggan di seluruh negara.

 

Bermula dengan hanya berniaga kedai makan secara kecil-kecilan di depan rumah, Zarina Bakar, 54, dari Kampung Sungai Pial di sini, kini mampu berbangga apabila sudah mempunyai 14 jenis pes jenama sendiri. 

 

Mengimbas masa lalu, Zarina berkata, pada 1990, dia bermula dengan berniaga nasi lemak dan nasi berlauk sehingga petang dan turut menghantar nasi lemak ke kedai makanan lain atas permintaan. 

 

"Ketika itu saya bangun seawal jam 3 pagi untuk sediakan makanan, dua orang anak saya berusia tujuh dan lima tahun ketika itu saya latih mereka untuk bantu saya susun kerusi di meja pelanggan pada jam 6.30 pagi sebelum mereka menaiki bas ke sekolah. 

 

"Saya tak dapat bayangkan keadaan kami sekeluarga ketika itu sangat susah, selepas setahun berniaga akhirnya saya buat keputusan untuk pinjam duit sebanyak RM500 daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). 

 

"Alhamdulillah dengan duit itu saya dapat besarkan sedikit kedai saya, antara menu istimewa kedai saya adalah gulai dan masak merah yang merupakan resipi arwah ibu saya, sejak berusia 10 tahun saya sudah biasa giling rempah, menu ini ternyata mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan," kata ibu kepada lima orang anak ini," katanya.

 

Bercerita lanjut, Zarina kemudian membuat lagi pinjaman RM3,000 diikuti RM15,000 sehinggalah pinjaman maksimum sebanyak RM30,000 untuk membesarkan kedainya yang dinamakan Naim Ikan Semilang. 

 

 

AIM
Zarina Bakar bergambar di hadapan restorannya di Kampung Sungai Pial, Tanjung Dawai, Kedah.

 

 

AIM

 

 

AIM

 

 

Katanya, dia menjual gulai ikan semilang sebagai identiti kedainya dan ternyata menu itu paling banyak ditempah pelanggan. 

 

"Kira-kira pada 2005 ramai yang menempah pes gulai ikan antaranya golongan pendidik, dari situ saya mula jual pelbagai pes seperti pes gulai, masak hitam, masak merah, sambal tumis, kurma, gulai udang, ikan bakar, sup dan masak lemak cili api. 

 

 

AIM

 

 

AIM

 

 

AIM

 

 

"Setiap pes saya akan masak selama 4 jam untuk pastikan rasa dan kualitinya terjaga, menerusi jualan pes saya meraih jualan kira-kira RM8,000 hingga RM10,000 sebulan menerusi jualan di Shoppe, manakala pendapatan di kedai makan mampu mencecah RM3,000 hingga RM4,000 sehari pada hari cuti sekolah.        

 

"Terima kasih kepada AIM kerana membantu wanita seperti saya untuk mengembangkan perniagaan, dengan pinjaman mudah tanpa sebarang cagaran, saya yakin lebih ramai wanita di luar sana mampu berjaya dalam perniagaan dengan pinjaman AIM," katanya. - DagangNews.com