ReSkills EdTech tawar akses percuma kursus kemahiran menerusi Celcom | DagangNews Skip to main content

ReSkills EdTech tawar akses percuma kursus kemahiran menerusi Celcom

 

KUALA LUMPUR 19 Ogos –  Pelanggan Celcom kini boleh menikmati akses percuma kepada kursus-kursus kemahiran secara langsung setiap hari untuk tempoh 15  bulan, yang ditawarkan oleh ReSkills,  platform pembelajaran bersemuka dalam talian yang sedang pesat membangun.

 

ReSkills EdTech, sebuah syarikat pemula pendidikan dalam talian tempatan,berhasrat memperkasa jutaan rakyat negara ini dengan membina dan meningkatkan semula kemahiran mereka, seterusnya merangsang pertumbuhan professional dan peribadi masing-masing,  khususnya semasa krisis pandemik sekarang.

 

ReSkills percaya pertukaran pengetahuan dengan pakar-pakar latihan secara bersemuka dan langsung akan menghasilkan kesan pembelajaran yang berkesan dan berjaya.

 

Menerusi kerjasama dengan Celcom Axiata Berhad (Celcom), ReSkills menawarkan akses percuma selama 15 bulan kepada 50,000 pelanggan Celcom terawal (bernilai RM30 juta) kandungan pembelajaran interaktif dalam talian yang berimpak tinggi. Celcom merekodkan pertumbuhan trafik data sebanyak 70% semasa Kawalan Perintah Pergerakan Negara berlangsung.

 

Ketua Pegawai Eksekutif ReSkills, Jin Tan percaya syarikatnya akan membantu pendidikan negara berkembang maju dengan menjadikan pembelajaran dalam talian lebih mampu milik dan mudah diakses oleh semua rakyat.

 

Menurut Pengurus Besarnya, Jegaynsan Gopinathan, matlamat ReSkills ialah agar rakyat Malaysia dapat mengambil langkah dan tindakan segera daripada setiap sesi pembelajaran, demi mengubah kehidupan sendiri dan kehidupan orang lain.

 

ReSkills menghubungkan pelajar yang beraspirasi tinggi dengan “Master Coaches” bagi mencapai penguasaan lebih mendalam terhadap subjek tertentu ketika mereka melaksanakan kajian kes dan menjadikannya lebih menarik dalam sesi pembelajaran.

 

 

ReSkills
Peneraju ReSkills EdTech, Jegaynsan Gopinathan (kiri) dan Jin Tan

 

 

Aplikasi mudah alih ReSkills boleh didapati di Huawei Store, Google Pay dan App Store, serta boleh diakses menerusi www.reskills.com. Pelbagai topik pembelajaran ditawarkan antaranya, Peniagaan dan Keusahawanan serta Kepimpinan dan Pembangunan Peribadi.

 

Pembabitan ReSkills di dalam industri pendidikan dalam talian didorong oleh fakta bahawa seramai dua bilion pelajar, khususnya dari Asia dan Afrika disasarkan memasuki pasaran menengah dan pasca-menengah dari tahun 2020 hingga 2050. Kemasukan yang sungguh besar di dalam industri pendidikan itu hakikatnya hanya dapat disokong dengan penggunaan teknologi.

 

Walaupun baru setahun beroperasi, ReSkills telah mengadakan 200 kelas secara lansung, membabitkan lebih 800 jumlah jam pembelajaran di dalam empat bahasa serta memperkasa lebih dari puluhan ribu pelajar dan bersedia memberikan impak yang lebih besar kepada lebih ramai lagi rakyat negara ini.

 

ReSkills juga telah menambah pembimbing luar negara antaranya Singapura, Indonesia, Taiwan, Filipinan dan Thailand ke dalam kumpulan pencipta kandungan mengikut kepakaran masing-masing.

 

Justeru , ReSkill dengan kerjasama  Celcom mengajak semua rakyat Malaysia menambah pengetahuan dan meningkatkan kemahiran untuk sama-sama berkembang maju pada ketika cabaran pandemik ini. - DagangNews.com