Rex sasar gandakan pendapatan daripada RM160.5 juta dalam tempoh 3 tahun | DagangNews Skip to main content

Rex sasar gandakan pendapatan daripada RM160.5 juta dalam tempoh 3 tahun

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Nov - Rex Industry Bhd yang tersenarai di pasaran ACE Bursa Malaysia dilaporkan menyasarkan untuk menggandakan pendapatannya daripada RM160.5 juta  ketika ini dalam tempoh tiga tahun akan datang melalui pelancaran produk baharu dan mendapatkan lebih banyak peruncit moden sebagai pelanggan. 

 

Menurut nota penyelidikan CGS-CIMB, syarikat itu yakin akan peningkatan margin yang kukuh pada masa hadapan susulan pelan pemulihan operasi yang telah diperkenalkan sejak tahun kewangan 2018.

 

"Marginnya kini berada di bawah rakan setara F&Bnya.

 

"Rex yakin dengan prospek pertumbuhan masa depannya, disokong oleh pemacu hasil yang kukuh dan margin yang lebih baik di hadapan. Ia mempunyai aset bersih RM0.26/saham," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Rex Industry Bhd merupakan pengeluar F&B tersenarai dalam pasaran ACE bagi makanan diperakui Halal  dengan makanan dalam tin dan biskut menyumbang 88% daripada hasil tahun kewangan 2020 dan minuman 12%.

 

Di pasaran domestik, produknya dijual melalui jenama dalaman, seperti Rex, Cinta, Noisette, manakala ia adalah pembekal OEM untuk jenama global di luar negara. 

 

Ketika ini, 34.6% daripada jualannya diperolehi dari Malaysia, dengan baki 65.4% daripada pasaran eksport.

 

"Sebagai sebahagian daripada kedudukan pasaran tempatannya, Rex menyatakan dalam laporan media bertarikh 28 Ogos 21 bahawa barangannya ditawarkan pada yang menarik sekaligus menjadi alternatif kepada jenama teratas, terutamanya untuk memenuhi sasaran pasarannya iaitu golongan B40," kata CGS-CIMB. -DagangNews.Com