RHB Investment beri keutamaan kepada syarikat perladangan Malaysia berbanding pemain serantau | DagangNews Skip to main content

RHB Investment beri keutamaan kepada syarikat perladangan Malaysia berbanding pemain serantau

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Nov - RHB Investment mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor perladangan dan memberi keutamaan syarikat Malaysia berbanding syarikat serantau.

 

Katanya, struktur cukai Indonesia menyebabkan pendapatan syarikat perladangan negara itu kurang kompetitif berbanding pesaing mereka di Malaysia.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pada asas suku tahun ke suku tahun, pendapatan suku ketiga 2023 seharusnya menjadi lebih baik dengan mengambil kira pengeluaran tandan buah segar (BTS) yang lebih tinggi secara bermusim dan harga mendatar.

 

"Walaupun musim puncak boleh berakhir untuk pengeluar Indonesia tetapi kami percaya syarikat Malaysia masih boleh menikmati sekurang-kurangnya satu atau dua bulan lagi pengeluaran yang lebih kukuh pada tahun ini," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 

Sementara itu, RHB Investment menjangkakan pertumbuhan pendapatan mendatar tahun ke tahun bagi syarikat Malaysia dan Indonesia.

 

Katanya, pengeluaran BTS bagi syarikat di Malaysia yang dilindunginya meningkat secara purata 24.8% pada suku keempat tahun ini manakala harga minyak sawit mentah (MSM) menguncup 1% pada suku ketiga.

 

Di Indonesia, ifirma penyelidikan itu menganggarkan pengeluaran BTS pada suku ketiga 2023 untuk syarikat di bawah liputannya meningkat 18.5%  berdasarkan arah aliran bermusim, manakala harga MSM, bersih daripada cukai, meningkat 5%.

 

Pada asas tahun ke tahun, purata pengeluaran BTS di Malaysia meningkat 4.9% pada suku ketiga manakala harga MSM turun 4.3%, katanya. Pengeluaran BTS Indonesia dianggarkan jatuh 4.9% pada 3Q2023, manakala harga MSM bersih meningkat 1.5%.

 

Firma penyelidikan, mengekalkan unjuran harga MSM kekal pada paras RM3,900 bagi setiap tan bagi 2023 dan 2024.

 

Pilihan utama RHB Investment bagi sektor itu termasuk Sarawak Oil Palms Berhad, Ta Ann Holdings Berhad, IOI Corp, Golden Agri dan PT PP London Sumatra Indonesia TBK. - DagangNews.com