KUALA LUMPUR 10 Mac - RHB Investment Research menjangkakan pendapatan teras Advancecon Holdings Berhad akan naik melebihi dua kali ganda bagi FY2022 selepas keadaan operasi menjadi normal.
Firma penyelidikan itu juga kekal optimis dengan syarikat kejuruteraan awam itu selepas mereka berjaya mengambil alih Spring Energy Resources yang memberi jaminan keuntungan bersih RM6 juta untuk FY2022 dan FY2023.
"Empat perjanjian projek pembelian panel solar juga menjamin aliran pendapatan sebanyak RM1.5 juta setahun," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, tempahan tertunggak Advancecon adalah sebanyak RM649 juta dengan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menyumbang 33% kepada tempahan itu diikuti Lebuhraya Pantai Barat (31%), projek berkaitan Sarawak (29%) dan projek melibatkan hartanah sebanyak 7%.
Katanya, syarikat itu juga menyasarkan untuk mendapatkan projek baharu bagi FY2022 bernilai RM320 juta dan memili tender bernilai hampir RM1.2 bilion merangkumi projek di Timur dan Barat Malaysia.
"Kami juga tidak menolak kemungkinan kumpulan itu meraih kontrak baharu untuk projek ECRL sambil bersikap lebih selektif dalam usaha untuk mengelakkan peningkatan kos.
BACA JUGA: Advancecon beli 51% kepentingan dalam operator kuari, Spring Energy
"Hasrat kerajaan untuk menaik taraf projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dijangka memberi manfaat kepada kumpulan itu berdasarkan kepada rekod cemerlang dan mereka berjaya mendapatkan projek bernilai RM136.8 juta untuk projek berkenaan pada 2016 dan 2017," katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, Advancecon juga merasai kesan kenaikan harga bahan terutama diesel yang mempengaruhi 10% kos keseluruhan kumpulan itu.
"Bagaimanapun, mereka mampu menyerap tekanan kenaikan harga itu kerana berjaya mendapatkan projek berkaitan kerajaan seperti Pakej 2 Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) ," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saran 'beli' untuk saham-saham Advancecon pada harga lebih rendah RM0.38 selepas mengambil kira risiko kegalan mendapatkan kontrak baharu, peningkatan kos dan kelawatan dalam menyiapkan projek pembangunan infrastruktur - DagangNews.com