RHB Investment kekal 'neutral' terhadap TIV dengan jangkaan pengenalan semula SST, kenaikan OPR | DagangNews Skip to main content

RHB Investment kekal 'neutral' terhadap TIV dengan jangkaan pengenalan semula SST, kenaikan OPR

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Mac - RHB Investment Bank Berhad kekal 'neutral' dengan unjuran jualan kenderaan atau jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 540,000 unit bagi 2022F namun pada masa sama menjangkakan pengenalan semula cukai jualan (SST) serta kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

 

Firma penyelidikan itu berkata, BNM dijangka memulakan kitaran kenaikan OPR pertama sebanyak 25bps pada 2H22 dan diikuti kenaikan 50 bps pada 2023 yang akan menyebabkan kenaikan antara 1% hingga 2% setiap bulan untuk bayaran balik faedah sewa beli.

 

Pada masa sama, pemain-pemain industri dipercayai sedang melobi untuk SST diteruskan dalam usaha mengekalkan margin keuntungan.

 

"Kami percaya pelaksanaan semula SST mungkin dilakukan secara berperingkat sebagai usaha meminimumkan kenaikan harga dan mengurangkan beban pada margin keuntungan.

 

"Bagaimanapun terdapat beberapa cabaran yang perlu dihadapi pemain industri termasuk kekurangan bekalan komponen utama dan kelewatan pengenalan model baharu selain penyebaran varian baharu COVID-19

 

"Selain itu dipercayai bank akan mengetatkan kelulusan untuk pinjaman kereta selain penurunan harga Ringgit Malaysia (RM)," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

keta

 

Firma penyelidikan itu berkata, keputusan bagi 4Q2021 adalah luar daripada jangkaan kerana dipacu oleh permintaan tinggi akibat pembukaan semula sektor ekonomi dengan MBM Resources dan UMW meraih jualan yang sangat positif bagi suku itu.

 

Katanya, Perodua dan Toyota memiliki tempahan tertunggak antara tiga ke empat bulan namun secara umumnya kadar tempahan semakin baik selepas mengambil kira pengecualian SST berada di penghujungnya.

 

"Perodua dan Toyota juga memberitahu bahawa bekalan komponen kenderaan termasuk cip semikonduktor adalah mencukupi untuk memenuhi sasaran pembuatan dan jualan 2022.

 

"Kami percaya, segmen pembuatan mereka akan terus meningkat pada bulan-bulan akan datang bagi memenuhi permintaan tinggi," katanya. - DagangNews.com