RHB Investment kenal pasti TNB sebagai penerima manfaat utama daripada pelaksanaan NETR | DagangNews Skip to main content

RHB Investment kenal pasti TNB sebagai penerima manfaat utama daripada pelaksanaan NETR

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Jan - RHB Investment mengenal pasti Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai penerima manfaat utama daripada Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) kerana ia dijangka boleh meningkatkan kadar hasil aliran tunai bebas (FCF), memberikan ruang untuk pelaburan dan dividen yang lebih menguntungkan.

 

Firma penyelidikan itu juga positif terhadap Malakoff Corporation Berhad, sambil menambah bahawa pelabur mungkin terlepas pandang penjanaan FCF kumpulan itu yang stabil.

 

"Pada tahap semasa, kami berpendapat pelabur mengabaikan penjanaan FCF kumpulan yang kukuh apabila pendapatannya kembali normal berikutan harga arang batu yang lebih stabil dan potensi peningkatan daripada projek tenaga diperbaharui (RE) untuk mencapai sasaran kapasiti RE," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Aliran tunai operasi bersih TNB berjumlah RM22.31 bilion pada 30 September 2023 manakala bayaran belum terimanya adalah sebanyak RM13.42 bilion manakalan aliran tunai operasi bersih Malakoff ialah RM1.02 bilion pada tarikh sama.

 

Walaupun skim solar berskala besar (LSS5) khusus masih belum didedahkan, termasuk saiz kapasiti projek, struktur pegangan saham seperti had pegangan saham asing, dan tempoh bidaan, RHB Investment melihat pengumuman itu sebagai tanda menggalakkan komitmen kerajaan terhadap sasaran yang ditetapkan di bawah NETR.

 

Firma penyelidikan itu meramalkan, anugerah kontrak akan berlangsung pada hujung 2024 berdasarkan garis masa untuk program LSS sebelum ini. Mereka juga menyedari bahawa peranan TNB dalam menyokong NETR adalah jelas dalam keperluan bagi mengukuhkan infrastruktur grid kuasa negara.

 

Selain itu, mereka juga menganggarkan bahawa kuota baharu untuk aset itu akan memerlukan kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) yang menelan belanja antara RM7 bilion hingga RM10 bilion.

 

Ia menyatakan bahawa syarikat seperti Solarvest Holdings Berhad, Samaiden Group Berhad, Sunview Group Berhad dan Pekat Group Berhad juga boleh mendapat manfaat dalam bentuk aliran kontrak baharu.

 

RHB Investment mengekalkan penarafan 'overweight' ke atas sektor utiliti Malaysia, memetik NETR sebagai faktor yang telah menyuntik pertumbuhan struktur ke dalam sektor itu. Bagaimanapun, mereka memberi amaran bahawa risiko penurunan sektor termasuk kelewatan NETR.

 

Tambahan pula, kerajaan mengumumkan rancangan untuk melancarkan kuota untuk kapasiti RE baharu sebanyak 2.8GW, yang terdiri daripada tiga kategori.

 

Kategori satu termasuk permintaan cadangan (RFP) untuk kapasiti solar 2GW (termasuk 500MW solar terapung) melalui skim LSS5 kelima Malaysia.

 

Kategori dua ialah Program Penjanaan Tenaga Karbon Rendah dengan kuota 400MW untuk penjanaan kuasa karbon rendah, seperti hidro kecil, biogas, biojisim dan hidrogen di bawah mekanisme New Enhanced Dispatched Arrangement (NEDA).

 

Kategori ketiga termasuk kuota 400MW di bawah skim pemeteran tenaga bersih (MEB) untuk isi rumah dan segmen komersial dan perindustrian (C&I).

 

Akhir sekali, kerajaan melancarkan projek penyimpanan bateri berskala utiliti pertama di Malaysia, projek perintis sistem storan tenaga bateri (BESS) 400MWj, yang akan dilaksanakan oleh TNB. - DagangNews.com