RHB Investment positif terhadap prospek aluminium, jangka pemulihan ketara selepas 2024 | DagangNews Skip to main content

RHB Investment positif terhadap prospek aluminium, jangka pemulihan ketara selepas 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Sept - RHB Investment positif terhadap prospek aluminium dan menjangkakan pemulihan permintaan yang ketara selepas 2024. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, permintaan terhadap aluminium semakin meningkat bagi pembuatan panel solar dan kenderaan elektrik di Eropah.

 

Pada masa sama, mereka juga menetapkan saranan 'beli' terhadap Malayan Cement Berhad (LMC) kerana menjadi penerima manfaat langsung daripada pemulihan aktiviti pembinaan dan hartanah di Semenanjung Malaysia.

 

RHB Investment berkata, keputusan kewangan Press Metal Aluminium Holdings Berhad bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2023 adalah lebih lemah daripada konsensus dan ramalannya, disebabkan harga aluminium LMC yang lebih rendah, walaupun harga bahan mentah (untuk anod karbon dan alumina berkurangan).

 

"LMC mencatatkan pendapatan yang baik iaitu 111% dan 122% daripada anggaran tahun penuh kami dan konsensus hasil peningkatan jumlah jualan, dan harga jualan purata yang lebih tinggi bagi kedua-dua simen domestik dan konkrit.

 

"Pendapatan Cahya Mata Sarawak Berhad adalah mengecewakan disebabkan bahagian penyelenggaraan jalan dan fosfatnya yang merugikan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan permintaan untuk simen bagi jangka pertengahan dan panjang dirangsang pelancaran projek infrastruktur utama seperti Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura,  Sistem Transit Rapid Singapura-Johor Bahru (RTS Link), LRT Bayan Lepas dan Transit Aliran Massa 3 (MRT3).

 

"Bagaimanapun, sektor itu berdepan beberapa cabaran termasuk penurun harga Aluminium LME, penyusutan perkembangan ekonomi global, kos bahan mentah yang lebih tinggi berbanding jangkaan, purata harga jualan simen yang lebih rendah dan pengeluaran simen yang lebih rendah daripada jangkaan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'overweight' untuk sektor itu," katanya.- DagangNews.com