Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 27 Okt. - Genting Skyworlds dijangka memudahkan lagi ketibaan pengunjung ke Resorts World Genting susulan pembukaan semula taman tema luarnya.
Menurut RHB Research, ketibaan pengunjung telah beransur pulih susulan kebenaran merentas negeri yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Bagaimanapun katanya, jumlah pelawat masih belum mencapat tahap pra-pandemik manakala beberapa kemudahan juga masih ditutup berikutan pengurusan secara beransur-ansur meningkatkan operasi menjelang akhir tahun.
"Kami memahami bahawa taman tema itu telah bersedia untuk memulakan operasi dalam masa terdekat dan percaya ia boleh berlaku pada bulan November, yang juga tepat pada masanya bagi pembukaan semula menjelang cuti akhir tahun," katanya dalam nota kajiannya di sini hari ini.
Firma penyelidikannya menambah bahawa Taman Tema Tertutup Skytropolis masih belum dibuka tetapi dijangka menarik pengunjung apabila ia dibuka semula untuk meningkatkan hasil bukan permainan.
Apabila kadar vaksinasi negara meningkat dan kes Covid-19 menurun, RHB menjangkakan keyakinan dalam kalangan pelancong pulih, yang berkemungkinan akan membawa kepada pemulihan pendapatan yang lebih kukuh bagi syarilat itu.
"Kami percaya trajektori untuk pendapatan akan mencapai titik perubahan dan pembukaan Genting SkyWorlds yang hampir pasti juga akan mewujudkan keseronokan, selain daripada kesan kebaharuan - yang berpotensi membawa kepada ketibaan pelawat yang lebih tinggi daripada jangkaan ke RWG," katanya.
RHB mengekalkan syor "beli" ke atas Genting Malaysia Bhd dan anggaran pendapatan kerana ia menjangkakan saham itu akan menjadi penerima manfaat utama pembukaan semula ekonomi dan pemulihan dalam pelancongan domestik. -DagangNews.com