Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS | DagangNews Skip to main content

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

 

 

KUALA LUMPUR 2 Mac - Ringgit dibuka sedikit tinggi kepada RM4.0510/0550 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) di sebalik penurunan harga minyak mentah global. 

 

HLIB Research menjangkakan ringgit diniagakan neutral berbanding dolar AS dalam minggu ini. 

 

Katanya, mata wang tempatan akan berlegar pada julat antara RM4.04 hingga RM4.07 berbanding dolar AS terutama menjelang mesyuarat dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM). 

 

"Namun, mesyuarat Khamis ini dijangka tidak membawa sebarang perubahan kepada pendirian dasar monetari dan kadar dasar semalaman dikekalkan," katanya dalam nota kajian. 

 

Semalam, ringgit ditutup pada RM4.0550/0580 berbanding dolar AS daripada RM4.0450/0443 pada penutupan Jumaat lalu.

 

Ini kerana sentimen pasaran menyebabkan mata wang komoditi meningkat ketika harga minyak kembali pulih, didorong oleh penyusutan hasil Perbendaharaan AS.

 

Menurut HLIB, mata wang komoditi meningkat meskipun di sebalik penurunan harga minyak yang mana pelabur menjangkakan mesyuarat pengeluar minyak bersekutu Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC+) Khamis ini akan mengembalikan semula bekalan dalam pasaran. 

 

West Texas Intermediate (WTI) jatuh 1.4% kepada AS$60.64 setong manakala Brent susut 3.7% kepada AS$63.69 setong. 

 

Menurut Reuters, harga minyak mentah semakin susut menghampiri paras AS$60 setong dalam dagangan awal Asia pagi ini ekoran meningkatnya kebimbangan mesyuarat OPEC+ yang akan membuat keputusan ketetapan pengeluaran minyak. 

 

Ketika ini kesatuan itu sudah mengurangkan pengeluaran melebihi 7 juta tong sehari atau merangkumi 7% daripada bekalan global. - DagangNews.com