Ringgit mengukuh disokong Belanjawan 2021 | DagangNews Skip to main content

Ringgit mengukuh disokong Belanjawan 2021

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 9 Nov. - Pasaran kewangan minggu ini memulakan dagangan kukuh apabila dibuka lebih tinggi pagi Isnin, pada RM4.1200/4.1290 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). 

Pada Jumaat, ringgit meraih kesan positif daripada pembentangan Belanjawan 2021 apabila ditutup RM4.1275/1325. 

AmBank Research berkata, ringgit mengukuh untuk hari kedua, meningkat 0.44% kepada RM4.129, tertinggi sejak 19 Oktober lalu disebabkan terutamanya kelemahan dolar AS. 

Indeks FBM KLCI pula menokok 1.21% kepada 1,519.6 mata, tertinggi dalam tempoh 3 minggu. 

"Kami menjangkakan ringgit hari ini akan diniagakan antara paras sokongan pada RM4.1136 dan RM4.1221 manakala paras rintangan, RM4.1339 dan RM4.1399," katanya dalam nota kajian hari ini. 

Berbanding mata wang lain, ringgit menyusut 0.23% kepada RM4.895 berbanding euro dan 0.41% kepada RM5.426 berbanding pound. 

Bagi mata wang serantau, ringgit susut 0.16% kepada RM3.067 berbanding dolar Singapura.  

Menurut firma penyelidikan itu, Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada 6 November lalu akan terus diperluaskan bagi memacu sentimen pengguna dan perniagaan. 

"Defisit fiskal daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjurkan pada 5.4% tahun hadapan berbanding -6.0% tahun ini," katanya. 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam temu bual khas di Astro Awani optimis ekonomi negara akan terus berkembang di bawah Belanjawan 2021 yang menyediakan pelbagai insentif termasuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu. 

Semalam, Penganalisis Pasaran FTXM, Han Tan berkata, ringgit berserta semua mata wang utama Asia mencatatkan aliran peningkatan mingguan berbanding dolar AS yang sebaliknya susut daripada kenaikan awal sebelum pemilihan presiden negara itu.

Namun, katanya, bagi minggu depan, tukaran ringgit dan dolar AS dijangka dalam sentimen lemah sementara menunggu sebarang perubahan besar membabitkan pilihan raya Presiden AS.

"Ini kerana, kemenangan Joe Biden akan menyaksikan dolar AS menyederhana lagi yang sebaliknya membuka ruang tukaran ringgit berbanding dolar AS pada RM4.11 seperti pada pertengahan September," katanya. - DagangNews.com