Ringgit merosot 13.5% setakat ini, diunjur berlegar RM4.80 pada suku pertama 2023 - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Ringgit merosot 13.5% setakat ini, diunjur berlegar RM4.80 pada suku pertama 2023 - AmInvestment

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 27 Okt - Ringgit dijangka susut kepada RM4.80 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku pertama 2023 ekoran ketidaktentuan luaran dan juga faktor dalaman sebelum ia kembali mengukuh kepada RM4.40 menjelang akhir tahun hadapan, demikian menurut AmInvestment Bank Research.

 

Mata wang tempatan itu telah menyaksikan penilaian paling lemah berbanding dolar AS pada 31 Mac 1998 dengan berlegar pada RM4.88.
 

Firma itu mendapati ringgit masih kekal lemah walaupun terdapat usaha untuk menstabilkannya dengan menggunakan sekitar AS$9.5 bilion rizab Bank Negara Malaysia (BNM). 

 

Langkah agresif Rizab Persekutuan AS (Fed) menaikkan kadar faedah dengan agresif tahun ini sebagai salah satu usaha mengurangkan tekanan inflasi, telah memberi tekanan kepada ringgit, hingga menyaksikan mata wang itu merosot sehingga 13.5% setakat 25 Oktober 2022.

 

 

Rizab Persekutuan AS

 

 

Ia berlaku di sebalik tindakan BNM menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 75 mata asas setakat ini hingga mencecah 2.50%. 

 

Malah, bank pusat dijangka menaikkan 25 mata asas lagi pada bulan ini diikuti 25 mata asas lagi pada Januari 2023, menjadikan kadar itu kembali ke tahap sebelum pandemik COVID-19 pada 3.00%.

 

"Dengan jangkaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan berkembang lebih perlahan pada suku keempat sekitar 5% berbanding unjuran 9% hingga 10% pada suku ketiga menjadikan pertumbuhan 2022 antara 7.5% hingga 85, ringgit dilihat terus kekal lemah ekoran kitaran dolar AS. 

 

"Ketidaktentuan luaran dan dalam negara, kekal menjadi kelemahan utama kepada ringgit. Pada masa sama, perbezaan kadar faedah kekal melebar, memihak kepada dolar AS, justeru, kami mengunjurkan ringgit akan berlegar pada RM4.70 berbanding dolar AS pada suku keempat ini," jelasnya dalam laporan tematik hari ini.

 

Dalam dagangan pagi ini, ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS berikutan jangkaan Fed akan memperlahankan kadar kenaikan kadar faedah sehingga akhir tahun.

 

Pada 9.04 pagi, mata wang tempatan mengukuh kepada RM4.7020/7070 berbanding dolar AS, daripada penutupan semalam pada RM4.7120/7165.

 

ringgit

 

 

Menurut AmInvestment, perbezaan kadar faedah antara Malaysia dan AS dijangka mengecil pada separuh kedua 2023, memandangkan terdapat kemungkinan Fed akan menarik semula kenaikan kadar tersebut ekoran kebimbangan risiko kemelesetan dan kelembapan mendadak di negara tersebut. 

 

Katanya, dengan pengurangan dianggarkan 100 mata asas pada separuh kedua tahun hadapan, ia bermakna perbezaan kadar faedah akan berkurangan daripada paras puncak sekitar 1.25% hingga 1.50% kepada 0.25% hingga 0.50%.

 

Pada masa sama, firma itu berkata, ekonomi domestik akan lebih tenang selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini. 

 

"Ini bermakna impak positif daripada Rancangan Malaysia Ke-12, pelaburan langsung asing (FDI), pelaburan langsung domestik (DDI), aktiviti domestik, eksport dan pengurusan inflasi yang lebih baik dan Bajet 2023 harus memberikan keselesaan yang diperlukan untuk ekonomi berkembang sekitar 4.5% pada 2023.

 

"Memandangkan dolar AS dijangka memasuki tempoh kitaran penurunan, ia akan menyaksikan ringgit akan mula mengukuh mulai suku kedua dan seterusnya berlegar pada paras RM4.40 menjelang suku keempat 2023," jelasnya. - DagangNews.com