Ringgit muncul antara mata wang paling kukuh di Asia Tenggara - PM | DagangNews Skip to main content

Ringgit muncul antara mata wang paling kukuh di Asia Tenggara - PM

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 1 Mac - Ringgit Malaysia telah muncul sebagai antara mata wang paling kukuh di Asia Tenggara dipacu oleh inisiatif secara berterusan kerajaan dan swasta dalam memulihkan ekonomi selain menangani pandemik COVID-19. 

 

Ini merupakan petunjuk penting untuk menilai kemampanan ekonomi negara dalam jangka masa panjang, jelas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

 

Dalam masa sama, Muhyiddin optimis ekonomi negara turut akan kembali pulih pada tahun 2021 sejajar dengan pemulihan aktiviti ekonomi dan perdagangan dunia.

 

Muhyiddin Yassin
MUHYIDDIN YASSIN ketika menyampaikan ucapan Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin secara langsung di Facebook hari ini.

 

“Dengan langkah-langkah yang sedang diambil, kerajaan menjangkakan kedudukan ekonomi Malaysia akan bertambah baik pada tahun ini. Menurut laporan World Economic Outlook oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia pada tahun 2021 diunjur kembali pulih pada kadar 5.5%, manakala perdagangan dunia turut diunjur kembali berkembang pada kadar 8.1%.

 

“Badan-badan antarabangsa seperti IMF dan Bank Dunia pada bulan Januari 2021 mengunjurkan ekonomi negara kita akan berkembang pada kadar 7% dan 6.7%. Pemulihan ekonomi negara akan turut diterajui oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan yang menyumbang lebih 80% daripada KDNK.

 

“Pada masa yang sama, permintaan domestik diunjur mencatat pertumbuhan yang stabil disokong oleh penambahbaikan dalam pasaran buruh, kadar inflasi yang rendah dan keadaan pembiayaan yang menggalakkan serta penerusan semula projek utama infrastruktur,” katanya ketika menyampaikan Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin secara langsung di Facebook hari ini. 

 

Tambah Muhyiddin, langkah kerajaan membuka semula sektor-sektor ekonomi secara berfasa selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada bulan Mac 2020 telah menyumbang kepada kedudukan ekonomi semasa yang lebih baik. 

 

Pada PKP kali kedua ini, kerajaan telah berusaha untuk mengimbangi antara kepentingan kesihatan awam dan keperluan pertumbuhan ekonomi, jelas Muhyiddin. 

 

Namun, kehilangan hasil masih besar iaitu sekitar RM633 juta sehari, katanya.

 

“Sehubungan itu, kerajaan telah mengarahkan supaya semua aktviti ekonomi dalam sektor perkhidmatan, peruncitan dan pembinaan dibenarkan beroperasi pada kapasiti 100 peratus dengan SOP ketat yang perlu dipatuhi. 

 

“Kebenaran untuk beroperasi bagi aktiviti-aktiviti ekonomi ini memberi peluang kepada syarikat-syarikat untuk terus menjana pendapatan,” ujar Muhyiddin lanjut. - DagangNews.com