RIUH EK! bersama Unifi di Ayer Hitam, Johor dekatkan seni kreatif dengan Keluarga Malaysia | DagangNews Skip to main content

RIUH EK! bersama Unifi di Ayer Hitam, Johor dekatkan seni kreatif dengan Keluarga Malaysia

RIUH Keluarga Malaysia bakal dianjurkan di 14 lokasi di seluruh negara.

KUALA LUMPUR 2 Mac – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menerusi agensinya, MyCreative Ventures (MyCV) akan menganjurkan RIUH Keluarga Malaysia edisi pertama dengan “RIUH EK! bersama unifi” pada 3 hingga 5 Mac 2022 (Khamis hingga Sabtu) bertempat di Arena Warna, Ayer Hitam, Johor.

 

Program ini adalah inisiatif kementerian sebagai satu usaha memulihkan negara daripada masalah dan kesan pandemik COVID-19 termasuk dalam kalangan penggiat industri kreatif.

 

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa yang mencetuskan idea RIUH Keluarga Malaysia berkata, aktiviti seni kreatif mampu mengubati jiwa negara yang terkesan dengan pelbagai cabaran berikutan pandemik COVID-19.

 

Sehubungan itu ujar beliau, KKMM mempelawa komuniti seni budaya untuk bekerjasama dengan Kementerian melalui RIUH Keluarga Malaysia agar industri kreatif negara dapat terus dirancakkan dan memberi manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia.

 

RIUH Keluarga Malaysia bertujuan untuk menghimpunkan para usahawan kreatif dan penggiat seni tempatan daripada 12 cabang industri kreatif yang merangkumi muzik, filem, fotografi, animasi, seni persembahan, sastera, reka cipta, kraf dan seni tradisional, seni kulinari, seni visual, fesyen dan pendidikan kreatif.

 

Inisiatif ini dijangka akan mewujudkan sekurang-kurangnya 5,000 peluang pekerjaan di 14 lokasi dan menyokong 2,000 penggiat dan perniagaan tempatan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MyCV, Junady Nawawi berkata, penganjuran RIUH akan memberi impak kepada penggiat dan pekerja di dalam industri kreatif, dari segi penjanaan pendapatan industri, jumlah pekerjaan penggiat serta pekerja industri.

 

Ini kerana kebanyakan usahawan, budayawan serta seniman dari pelbagai komuniti dijemput untuk turut serta acara RIUH di seluruh negara.


 

riuh

 


''Lagipun, acara di setiap negeri akan berlangsung lebih daripada satu hari. Ini akan meningkatkan peluang penjualan usahawan tersebut yang membuka gerai di tapak RIUH.

 

‘’Kami mengharap bahawa rangkaian sosial dan profesional yang dihasilkan oleh program ini juga akan memupuk pengambilan pekerja serta perkongsian perniagaan di dalam industri kreatif.

 

‘’Secara langsung, ini berpotensi untuk memulihkan ekonomi masyarakat dan negeri Johor, amnya,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Bertemakan ‘Warna-warni Malaysia’, “RIUH EK! bersama unifi” adalah terbuka kepada semua pengunjung terutama yang berada di sekitar Johor khususnya di Ayer Hitam.

 

Para pengunjung akan merasai pelbagai tarikan termasuk barangan kreatif tempatan, persembahan seni dan muzik, bengkel kreatif, pameran seni, gerai ‘pop-up’, aneka makanan dan minuman serta banyak lagi untuk diteroka oleh para pengunjung.

 

Saksikan juga penampilan istimewa daripada kumpulan Search, Mafidz, LOKO, Statik, Hornbae, Orkes A Hizadin, persembahan gamelan, wayang kulit dan keroncong. Selain itu, pengunjung juga berpeluang menyaksikan pameran seni visual dan pyro show yang menakjubkan.

 

Turut serta jenama kreatif tempatan tersohor antaranya Kopi Dua Darjat, Haos Ek?, Buttercup, Mikano Claytive, Senitukang, NayylaO’ dan BeauTyra. MyCV mensasarkan lebih dari 10,000 pengunjung akan hadir sepanjang tiga hari penganjuran “RIUH EK! bersama unifi”.

 

Sementara itu, RIUH Keluarga Malaysia yang bakal dianjurkan di 14 lokasi di seluruh negara menyasarkan 200,000 pengunjung. – DagangNews.com