Rizab antarabangsa BNM tidak berubah, bernilai AS$111.1 bilion | DagangNews Skip to main content

Rizab antarabangsa BNM tidak berubah, bernilai AS$111.1 bilion

 

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) setakat 30 Julai tidak berubah dari 15 Julai 2021, berjumlah AS$111.1 bilion. 

 

“Paras rizab ini memadai untuk membiayai 8.1 bulan import tertangguh dan 1.1 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek,” jelas BNM dalam satu kenyataan, seperti dilaporkan Bernama.

 

Berdasarkan lampiran yang disertakan bersama-sama kenyataan itu, komponen utama rizab mata wang asing mencatatkan nilai tertinggi, sebanyak AS$103.2 bilion. 

 

Ini diikuti oleh aset rizab lain (AS$3.1 bilion), emas (AS$2.2 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.4 bilion) dan hak pengeluaran khas (SDR) (AS$1.2 bilion).

 

Sementara itu, aset-aset terdiri daripada emas, pertukaran asing dan rizab lain, termasuk SDR berjumlah RM461.83 bilion, kertas kerajaan Malaysia (RM11.22 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM727.36 juta), pinjaman dan pendahuluan (RM20.36 bilion), tanah dan bangunan (RM4.16 bilion) dan aset-aset lain (RM15.61 bilion). 

 

Modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar berjumlah RM100 juta, rizab (RM184.72 bilion), mata wang dalam edaran (RM142.46 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM141.82 bilion), deposit kerajaan Persekutuan  (RM15.65 bilion), deposit lain (RM7.95 bilion), kertas Bank Negara (RM8.50 bilion), peruntukan SDR (RM7.97 bilion) dan liabiliti lain (RM4.71 bilion). - DagangNews.com