RM12.12 bilion pinjaman mudah disalurkan kepada PKS - Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

RM12.12 bilion pinjaman mudah disalurkan kepada PKS - Tengku Zafrul

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Jun - Bank-bank tempatan telah meluluskan sehingga RM12.12 bilion dana pinjaman mudah buat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) setakat 4 Jun 2021. 

 

Inisiatif yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) itu memberi manfaat kepada 25,680 PKS, menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz. 

 

“Jumlah ini termasuk dana Special Relief Facility (SRF), Automation & Digitalisation Facility (ADF), All-Economic Sector Facility (AES) dan Agrofood Facility (AF),” katanya ketika menyampaikan Laporan Laksana Ke-57 secara maya hari ini.

 

Walaupun dana SRF telah dimanfaatkan sepenuhnya, namun jelas Tengku Zafrul, PKS boleh memohon skim pembiayaan yang masih tersedia melalui Tabung BNM seperti ADF, AES dan AF. 

 

PKS juga boleh mendapatkan pembiayaan lain melalui platform imSME di pautan https://imsme.com.my/portal/bm/ yang boleh membantu dalam membuat padanan pembiayaan yang diperlukan dengan pelbagai penyedia dana untuk syarikat, ujarnya lanjut.

 

Dari segi sokongan penggunaan teknikal dan digital buat PKS serta syarikat di peringkat pertengahan (MTC), sebanyak RM67.5 juta telah disalurkan kepada 13,869 perniagaan dalam bentuk geran dan pinjaman untuk langganan perkhidmatan digitalisasi bagi tempoh sama, katanya lagi.

 

Di bawah inisiatif Pemulihan CENDANA pula, sebanyak RM3.76 juta telah disalurkan kepada 508 penerima dalam sektor seni dan budaya setakat 4 Jun lalu, jelas Tengku Zafrul. 

 

“Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta yang dijangka akan memanfaatkan 3,000 penerima daripada kalangan seniman dan organisasi di dalam sektor seni dan budaya Malaysia. 

 

“Penerima akan menerima saiz geran yang berbeza bergantung kepada permohonan dan program yang disasarkan,” ujarnya lanjut. - DagangNews.com