RM2 juta untuk bergelar 'Tan Sri': Enam ditahan jual pingat kebesaran palsu | DagangNews Skip to main content

RM2 juta untuk bergelar 'Tan Sri': Enam ditahan jual pingat kebesaran palsu

PUTRAJAYA 8 Dis - Enam orang direman kerana didakwa terlibat dalam sindiket menjual anugerah persekutuan palsu, dengan gelaran "Tan Sri" boleh diperoleh dengan bayaran sekitar RM2 juta.

 

Menurut sumber, sindiket itu dikatakan mengenakan bayaran seperti berikut:

  • RM150,000 bagi jawatan Datuk

  • RM250,000 bagi gelaran Datuk Seri

  • kira-kira RM2 juta bagi gelaran Tan Sri.

 

Difahamkan, seorang suspek adalah presiden sebuah pertubuhan bukan kerajaan, lapor The Star hari ini.

 

Sumber yang mengetahui siasatan berkata, empat suspek iaitu tiga lelaki dan seorang wanita berusia 30-an hingga 50-an ditahan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 30 Nov lalu.

 

Mereka dipanggil untuk direkodkan kenyataan mereka selepas kertas siasatan dibuka mengenai dakwaan kegiatan mereka.

 

Dua lagi suspek, seorang wanita berusia 40-an dan seorang lelaki berusia 30-an, masing-masing ditahan pada Isnin dan Rabu (4 dan 6 Dis).

 

Sumber berkata, penahanan terbaru itu membabitkan presiden sebuah NGO, yang diberkas di Melaka pada 3 petang Rabu.

 

“Dia dipercayai dalang dan orang yang menentukan harga anugerah itu,” kata satu sumber.

 

Difahamkan, sindiket itu telah menipu enam individu yang ingin mendapatkan anugerah tanpa melalui prosedur biasa.

 

“Sindiket itu dipercayai telah beroperasi sejak 2020.

 

“Mereka dikatakan menipu mangsa ratusan ribu ringgit dengan menunjukkan gambar dan dokumen yang kononnya dari agensi kerajaan untuk meyakinkan mangsa mereka bahawa pingat dan gelaran yang disusun oleh mereka melalui 'pintu belakang' adalah tulen,” tambah sumber itu.

 

Dipercayai seorang mangsa membayar RM1.2 juta untuk gelaran Tan Sri dan SPRM sedang dalam proses mengesan lima lagi dipercayai ditipu sindiket itu.

 

Difahamkan, tiga suspek disambung reman selama tiga hari mulai Rabu manakala seorang dibebaskan dengan jaminan SPRM.

 

Wanita yang ditahan pada Isnin lalu direman empat hari mulai Selasa.

 

Pada Khamis (7 Dis), Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan suspek utama direman sehingga Isnin (11 Dis).

 

Pengarah Kanan Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan itu dan agensi itu sedang menyiasat kes itu.

 

Beliau berkata penyiasat rasuah sedang mencari beberapa individu lain yang didakwa terlibat dalam sindiket itu.- DagangNews.com