RM26.3 juta Geran Agropreneur Muda penternakan diluluskan | DagangNews Skip to main content

RM26.3 juta Geran Agropreneur Muda penternakan diluluskan

Geran Agropreneur Muda penternakan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 9 Dis. - Sebanyak RM26.3 juta Geran Agropreneur Muda diluluskan bagi tempoh 1 Januari 2016 hingga 15 November 2020.

 

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, jumlah tersebut diterima oleh 1,259 orang agropreneur muda di seluruh negara.

 

Che Abdullah Mat Nawi
Che Abdullah Mat Nawi

 

"Secara keseluruhan bagi sektor penternakan, seramai 1,259 orang agropreneur muda seluruh negara telah menerima kelulusan Geran Agropreneur Muda dari 1 Januari 2016 hingga 15 November 2020 yang berjumlah RM 26.3 juta," jelasnya ketika menjawab soalan Datuk Dr. Hasan Bahrom (PH-Tampin) di Dewan Rakyat hari ini.

 

Hasan meminta beliau menyatakan apakah pelan tindakan yang strategik dan bagi menggalakkan golongan belia untuk terlibat dengan industri penternakan terutama industri daging.

 

Program Agropreneur Muda telah diperkenalkan yang merangkumi sektor ternakan di samping sektor tanaman, perikanan dan industri makanan.

 

Skop ternakan adalah terbuka kepada hampir semua jenis projek ternakan baik ternakan ruminan seperti lembu, kambing dan bukan ruminan seperti ayam kampung, itik dan lain-lain unggas selain perkhidmatan sokongan dan input pertanian.

 

Hasan Bahrom
Hasan Bahrom

 

Mengulas berkaitan tindakan untuk menggalakkan penglibatan golongan belia di dalam industri penternakan terutama industri daging, beliau memberitahu, kementeriannya melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah menyediakan dua pelan strategik utama iaitu Pelan Strategik Pembangunan Industri Pedaging Negara yang menggariskan 12 hala tuju strategik dan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tenusu Negara yang menggariskan lapan hala tuju strategik.

 

 


Antara program-program yang dilaksanakan di bawah pelan strategik ialah;


Program Pembangunan Industri Ruminan (PROPER)

  • Diperkenalkan pada tahun 2019, menggunakan kaedah pelaksanaan geran pemadanan 70:30, di mana kerajaan pada awalnya menanggung 90% kos belian ternakan dan 10% ditanggung oleh penternak. 
  • Seterusnya, penternak dikehendaki membayar balik kos 20% kepada kerajaan melalui Corporate Social Responsibility (CSR) ternakan menjadikan tanggungan kepada penternak sebanyak 30%. 
  • Sehingga kini terdapat 10 peserta PROPER terdiri daripada golongan belia.

 

Projek Taman Kekal Pengeluaran Ruminan (TKPR)

 

  • Penggalakkan penglibatan pelaburan swasta dalam penternakan dengan menyediakan infrastruktur kandang di bawah ProjekTaman Kekal Pengeluaran Ruminan (TKPR) yang memberi fokus kepada pengusaha komersial dan semi komersial termasuk golongan belia.

 

Projek Rintis Tenusu

 

  • Projek ini mula dilaksana pada tahun 2017 melalui insentif geran pemadanan 70:30 untuk penternak skala kecil termasuk golongan belia iaitu pembiayaan sebanyak 70% daripada kerajaan manakala 30% adalah daripada penternak.
  • Manakala usahawan berskala besar 30:70 iaitu pembiayaan sebanyak 30% daripada kerajaan manakala 70% adalah daripada usahawan.
  • Sehingga kini, seramai 41 penyertaan dari golongan belia telah ditawarkan untuk program ini. - DagangNews.com