RM400 juta diperuntuk tambah bekalan vaksin negara | DagangNews Skip to main content

RM400 juta diperuntuk tambah bekalan vaksin negara

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Jun - Sebanyak RM400 juta diperuntukkan bagi menambah bekalan vaksin negara selaras dengan usaha kerajaan memperkasa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini bermakna, jumlah bekalan vaksin yang ditempah kerajaan adalah cukup untuk menampung 130 peratus populasi rakyat berbanding 120 peratus sebelum ini.

 

 

Pemulih

 

 

Katanya, penambahan bekalan vaksin ini antara lainnya adalah sebagai stok penimbal tambahan serta bertujuan memulakan proses vaksinasi bagi 6.4 juta remaja berumur 12 hingga 18 tahun. 

 

Bahkan, katanya, pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini juga akan diutamakan.

 

"Saya juga ingin tegaskan, kerajaan sedang memantau rapat dan membuat kawalan ketat berikutan penularan varian Delta Plus. 

 

"Varian ini telah menyebabkan beberapa buah negara kembali mencatatkan peningkatan jangkitan dan terpaksa melaksanakan semula perintah kawalan pergerakan," katanya. 

 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan petang ini bagi mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) bernilai RM150 bilion.

 

Setakat 26 Jun 2021, statistik menunjukkan, sejumlah 7 juta dos berjaya dibekalkan kepada rakyat iaitu merangkumi 5 juta orang. 

 

Sebanyak 15.5 peratus telah menerima dos pertama dan hampir 2 juta orang atau 6 peratus telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin. 

 

Kadar pemberian vaksin secara purata melebihi 200,000 sehari dalam tempoh 7 hari lalu. Selain itu, seramai 16.3 juta orang telah berdaftar untuk mendapatkan bekalan vaksin setakat ini.

 

 

Pemulih

 

 

Perdana Menteri berkata, bagi mempercepatkan usaha pemberian vaksin, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM200 juta untuk membuka 29 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) baharu, menaik taraf PPV sedia ada, melaksana PPV secara pandu lalu, PPV Bergerak dan program Outreach Home to Home.

 

Sebelum ini, kerajaan telah membuka sebanyak 341 PPV di seluruh negara yang terdiri daripada 320 PPV
Awam, 13 PPV Mega dan lapan PPV IPT. 

 

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kerajaan juga bersetuju untuk menyelaras kadar pembayaran elaun khas kepada 14,000 barisan hadapan kesihatan yang terlibat dalam PICK daripada RM200 kepada RM600 selama enam bulan bermula Julai 2021. 

 

"Kedua-dua inisiatif ini melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta," jelasnya. - DagangNews.com