RM500 juta untuk pembiayaan mikro kredit - PM | DagangNews Skip to main content

RM500 juta untuk pembiayaan mikro kredit - PM

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 17 Mac - Prihatin dengan situasi semasa yang mencabar, kerajaan menyalurkan dana pembiayaan tambahan sebanyak RM500 juta bagi kemudahan pembiayaan mikro kredit. 

 

Pembiayaan itu akan dilaksanakan melalui program-program di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN), TEKUN, MARA dan SME Corp, menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

 

Katanya, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM 1 bilion bagi kemudahan pembiayaan mikro kredit semasa pengumuman Belanjawan 2021 yang lalu.

 

“Melalui BSN, dana sebanyak RM300 juta akan disediakan dengan had pembiayaan sehingga RM50,000, di mana kadar faedah telah dikurangkan daripada 3.5% kepada 3%. Tempoh pinjaman adalah untuk lima tahun dan bayaran ansuran hanya bermula selepas bulan keenam.

 

“Bagi usahawan sektor informal, TEKUN Nasional akan menyediakan dana tambahan sebanyak RM60 juta, terutamanya untuk Skim Pembiayaan Informal dengan had pembiayaan sehingga RM5,000 bagi perniagaan secara kecil-kecilan daripada rumah, pasar malam dan pasar tamu,” katanya ketika mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) yang bernilai RM20 bilion hari ini.

 

Baca : PM umum 20 inisiatif di bawah Pemerkasa bernilai RM20 bilion

 

Dalam pada itu, kata Muhyiddin, program TEKUN Mobilepreneur akan diperluaskan untuk pembiayaan membaik pulih atau membeli motosikal baharu dengan had sehingga RM10 ribu. 

 

Bagi melengkapi inisiatif berkenaan, motosikal pemasangan tempatan dengan kapasiti enjin 150cc dan ke bawah akan diberi pengecualian 100% duti eksais mulai 1 April hingga 31 Disember 2021, katanya.

 

Ujar beliau, TEKUN juga akan memperkenalkan  program TEKUN POS-preneur di mana pemohon dapat menjana pendapatan melalui kontrak penghantaran barangan. 

 

Ini menyaksikan bantuan pembiayaan sehingga RM20,000 bagi tujuan baik pulih kenderaan, dan sehingga RM50 ribu untuk pembelian van atau lori.

 

Sementara itu, melalui MARA, Skim Pembiayaan Perniagaan Prihatin Mikro akan dilaksanakan dengan keutamaan untuk membantu 1,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro Bumiputera untuk meneruskan kelangsungan perniagaan, tambah Muhyiddin. 

 

Baca : Pemerkasa : Peruntukan projek berskala kecil dinaikkan kepada RM5 bilion

 

“Sebanyak RM50 juta disediakan dengan nilai pembiayaan sehingga RM50,000 pada kadar faedah serendah 3%. 

 

“Di samping itu, SME Corp. akan menyediakan RM50 juta untuk membantu PKS tempatan mendapatkan pembiayaan sehingga RM250,000 pada kadar faedah juga serendah 3%,” katanya lagi. - DagangNews.com